TUGAS sebagai seorang pengurus jualan di sebuah syarikat rantaian barangan sukan terkemuka di negara ini bukanlah tugas yang mudah.
Sebagai seorang pengurus, Danial (bukan nama sebenar) sudah semestinya perlu memastikan operasi di setiap rangkaian kedai milik syarikatnya berjalan lancar.
Justeru, dia perlu mengadakan kunjungan ke kedai-kedai milik syarikatnya yang terletak di hampir semua negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan dan kakitangan kedai, selain menyelesaikan isu-isu berbangkit.
“Biasanya, saya akan ‘outstation’ selama tiga hingga empat hari di satu-satu negeri untuk berkunjung ke semua kedai milik syarikat.
“Selain bertemu dengan kakitangan yang bertugas di kedai-kedai, saya juga akan melakukan tinjauan pasaran bagi tujuan penambahbaikan jualan di kedai kami.
“Setiap kali ‘outstation’, sudah tentulah bilik hotel menjadi pilihan untuk dijadikan tempat berehat memandangkan saya kerap berseorangan,” katanya.
Menurut Danial lagi, sejak melakukan rutin tugasnya itu sepanjang lima tahun lalu, dia pernah mengalami pengalaman yang menyeramkan ketika menginap di sebuah hotel di selatan tanah air.
Kejadian itu berlaku ketika dia pulang ke bilik hotel selepas selesai menjalankan urusan kerjanya pada hari pertama di situ.
“Pada malam pertama, saya pulang agak lewat iaitu kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas selesai menjamu selera.
“Selepas mandi untuk menyegarkan diri, saya berehat di atas katil sambil menonton televisyen sementara menunggu untuk tidur.
“Kira-kira setengah jam kemudian, saya terdengar suara wanita menjerit seolah-olah meminta tolong dari bilik sebelah.
“Disebabkan ingin mengetahui apa yang sedang berlaku, saya memberanikan diri menjenguk ke arah bilik berkenaan dari kawasan balkoni.
“Apa yang menghairankan, bilik berkenaan kelihatan gelap dan tiada pula tanda-tanda ada penghuni di dalamnya,” katanya.
Mengesyaki suara jeritan tersebut mungkin hanyalah khayalannya yang ketika itu sudah terlalu mengantuk akibat keletihan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk terus tidur bagi merehatkan badan.
Bagaimanapun kata Danial, pada malam kedua dia menginap di bilik hotel itu, sekali lagi dia terdengar suara jeritan yang sama seperti malam sebelumnya.
Akibat rasa tidak sedap hati, dia sekali lagi ke kawasan balkoni untuk menjenguk ke dalam bilik sebelah.
Dalam keadaan cahaya yang samar-samar dan ditutup langsir tipis, dia melihat seolah-olah ada seorang wanita berdiri di atas pagar balkoni di sebuah bilik berhampiran, sebelum terjun ke bawah.
“Terkejut dengan apa yang berlaku, saya cuba menghubungi petugas di bahagian penyambut tetamu untuk memaklumkan kejadian tersebut.
“Disebabkan panggilan tidak dijawab, saya bergegas turun ke lobi hotel untuk melaporkan apa yang saya saksikan sebelum itu.
“Apa yang menghairankan, petugas hotel di lobi berkenaan langsung tidak menunjukkan rasa cemas, sebaliknya membawa saya masuk ke ruang pejabat di tepi kaunter dengan serta-merta,” katanya.
Ketika di ruang pejabat itu, dia telah diberitahu bahawa apa dilihatnya itu adalah perkara biasa yang pernah dilalui sebahagian pengunjung hotel berkenaan sebelum ini.
Cerita Danial, petugas hotel tersebut memberitahu, sebuah bilik yang terletak selang beberapa pintu dari biliknya itu dipercayai menjadi lokasi kejadian seorang wanita telah membunuh diri.
Ia selepas wanita itu menjadi mangsa rogol pekerja binaan ketika hotel itu masih dalam proses pembinaan kira-kira 15 tahun lalu.
Katanya lagi, dia diberitahu, sejak kejadian tersebut, beberapa penghuni yang menyewa bilik berkenaan pernah diganggu.
Akibat daripada itu, pihak pengurusan hotel mengambil keputusan untuk tidak lagi menyewakan bilik berkenaan dan beberapa bilik di sekitarnya terus dibiarkan kosong dan tidak disewa.
“Kata petugas hotel berkenaan, kejadian yang saya alami itu jarang berlaku dan hanya akan terjadi sekali dalam setahun.
“Malah, pihak hotel memulangkan semula wang sewaan kepada penghuni yang mengalami kejadian tersebut, selain menawarkan bilik lain sebagai ganti.
“Sejak kejadian itu, saya tidak lagi menjadikan hotel tersebut sebagai penginapan setiap kali ‘outstation’ ke daerah berkenaan.
“Ia bagi mengelak daripada terpaksa berhadapan dengan kejadian sama sekali lagi,” jelasnya.














