PUTRAJAYA – Rakyat diminta bersedia untuk berdepan dengan kenaikan harga ayam sehingga mencecah RM12 sekilogram selepas kerajaan menamatkan sepenuhnya subsidi dan kawalan ke atas makanan itu berkuat kuasa esok.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Idrus Zainal Abidin berkata, lonjakan harga itu dijangka berlaku selama empat bulan sebelum kembali pulih pada awal 2024.
Katanya, harga ayam standard akan naik sekitar 60 sen kepada RM10 berbanding RM9.40 sekilogram ketika ini.
“Harga naik kerana ia diputuskan dengan notis singkat dan sebab itu ia dijangka melonjak dalam tempoh empat bulan sebelum harga kembali pulih.
“Kami sudah bersedia kerana penternak mahu menjual dan bukannya menyimpan ayam. Biarlah untung sedikit asalkan tak rugi lagipun harga siling RM9.40 sekilo gram tidak menekan kami selama ini,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan bermula esok, namun bantuan masih disalurkan bagi telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.
Katanya, penamatan itu bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi selain menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.

Menurut Idrus, bekalan ayam sudah mencukupi dan penternak bersedia mengeluarkan bahan mentah mengikut permintaan kerana mempunyai kemudahan mencukupi termasuk infrastruktur reban.
Tambahnya, masalah timbul apabila ada gangguan pasaran luar seperti kartel dan ayam import dari China, Brazil dan Thailand.
“Apa yang perlu dikawal ialah harga anak dan makanan ayam kerana secara tidak langsung ia akan kurangkan kos pengeluaran sekali gus harga dapat diturunkan,” katanya.
Di Ipoh, seorang peniaga, Mohd. Rosli Salleh, 52, berkata, harga ayam dijangka naik antara RM3 hingga RM4 sekilo dengan penarikan subsidi itu.
“Bagaimanapun, harga sebenar belum dapat dipastikan kerana banyak faktor yang perlu diambil kira kerana bergantung kepada pemborong dan orang tengah.
“Jika mereka jual tinggi, maka kami tiada pilihan untuk turut sama berbuat demikian bagi mengelakkan kerugian,” katanya.
Seorang lagi peniaga ayam, Mohd. Kamil Mohd. Ali, 37, berkata, mereka tersepit dan serba salah dengan keadaan itu.
“Jika kami serap kenaikan harga, kami pula rugi. Oleh sebab itu lonjakan harga tidak dapat dielakkan,” katanya.
Di Alor Setar, Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd., Mazlina Kamarudin berkata, tiada kenaikan akan berlaku dalam tempoh terdekat kerana anak ayam telah masuk ke ladang.
“Namun, untuk kemasukan seterusnya, anak ayam akan dikurangkan sehingga 20 peratus kerana tiada subsidi. Ketika ini bekalan berlebihan ekoran rangsangan subsidi dan lambakan ayam import.
“Jangan pula bila hendak jual lebih harga siling pada masa perayaan, kerajaan laksanakan had harga maksimum. Kalau buat sudah tentu kami rugi,” katanya.
Di Johor Bahru, seorang pemborong, Abdul Samad Muhamad Nor, 51, berkata, penarikan subsidi akan menyebabkan kitaran harga ayam akan naik dari ladang ke peniaga.
“Tidak dapat tidak kerajaan kena pantau supaya ia tidak melambung dan membebankan pembeli,” katanya.
Menurut Abdul Samad, harga ayam diladang dijual RM5.60 hingga RM7.50 sekilogram, manakala RM9.50 di pasar.
Peniaga kedai makan, Mairan Abdul Hamid berkata, harga ayam goreng yang dijual RM3 seketul akan naik selepas ini.
“Kalau tidak naik, mungkin saiz akan lebih kecil,” katanya.














