fbpx
TRISHA Ooi kini mengukir nama sebagai pelakon.

Seksi okey, berbikini tidak – Trisha Ooi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN baru dua tahun bergelar pelakon, nama bintang muda Trisha Ooi pantas menarik perhatian khalayak menerusi drama Tentang Hati Dia lakonan bersama Aliff Aziz.

Hadir dengan pakej yang lengkap termasuk bakat lakonan, jelita dan berkebolehan dalam aksi seni mempertahankan diri, Trisha, 23, bagaimanapun menolak untuk dikenali dengan imej yang seksi.

Malah menurut Trisha atau nama sebenarnya, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, di luar skrin televisyen mahupun filem, dia hanyalah seorang wanita yang ringkas.

“Saya tidak seksi, jika pakai gaun pun saya rasa sudah cukup seksi (ketawa). Tetapi saya boleh seksi bersebab, contohnya demi watak dalam drama atau filem.

“Dalam filem Pagari Bulan saya berkemban, tetapi untuk watak itu sahaja. Di luar saya masih Trisha yang ringkas dan agak lasak. Pemakaian saya juga biasa-biasa sahaja,” ujarnya.

Disoal, sejauh manakah limitasinya sebagai pelakon untuk seksi dalam sesebuah naskhah, termasuklah jika ditawarkan naskhah dari luar negara, begini jawabnya:

“Kalau saya diminta untuk berbikini dalam filem luar negara memang saya tolak. Saya rasa tidak sesuai orang Timur berbikini.

“Tetapi jika diminta untuk pakai seluar pendek atau singlet untuk watak aksi saya boleh pertimbangkan tetapi jika boleh saya akan cuba elak untuk seksi berlebihan,” kongsi Trisha.

TRISHA Ooi masih berpegang prinsip tidak berlebih-lebihan, terutama isu keterbukaan berpenampilan seksi dalam naskhah lakonan.

Momentum seni

Tanpa sebarang cerita panas mahupun jumlah pengikut yang ramai di laman sosial, Trisha boleh dianggap bertuah apabila mendapat kepercayaan pihak stesen televisyen dan ramai penerbit.

“Saya sendiri bagai tidak percaya, dalam tempoh dua tahun menjadi pelakon, rezeki saya terbuka luas dan perjalanan karier juga berjalan dengan agak mudah.

“Sebelum ini memang ada isu kononnya perlu ada pengikut yang ramai untuk berlakon drama, tetapi saya membuktikan sebaliknya.

“Jadi, setiap rezeki yang datang saya beri usaha dan komitmen lebih 100 peratus kerana sedar bukan mudah untuk mendapat kepercayaan tersebut,” ujar Trisha.

Tambahnya, walaupun pernah memainkan watak heroin, termasuk dalam drama terbaharu Menanti Senja yang kini sedang menjalani penggambaran, dia terbuka untuk menerima sebarang watak.

Sebagai pelakon baharu, Trisha sedar yang dia masih belum layak untuk memilih watak yang ditawarkan kepadanya.

“Rasanya saya belum layak untuk memilih watak walaupun telah diberi kepercayaan untuk memegang watak utama.

“Saya utamakan karya yang baik, tidak kira sama ada watak pelakon pembantu, sampingan mahupun antagonis.

“Sejak kebelakangan ini saya banyak menerima watak heroin air mata, tetapi saya sangat teringin untuk berlakon naskhah komedi mahupun membawa watak antagonis.

“Saya ingin menjadi pelakon yang versatil jadi saya perlu mempelbagaikan watak lakonan,” tutur Trisha.

BAKAL muncul menerusi naskhah Menanti Senja, Trisha amat bersemangat apabila berpeluang bekerja dengan nama-nama besar dalam drama siaran TV3 itu.

Timba ilmu

Trisha yang ditemui sewaktu penggambaran drama Menanti Senja di Kajang baru-baru ini mendedahkan rasa gusar apabila mendapat tahu drama tersebut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Sherie Merlis, Johan As’ari, Kodi Rasheed Khatijah Tan.

Terasa dirinya begitu kerdil jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon senior, Trisha bagaimanapun bersyukur apabila mereka bukan sahaja tidak lokek memberi ilmu, malah melayan dirinya seperti keluarga.

“Mula-mula saya mendapat tahu nama-nama pelakon yang terlibat saya cukup takut. Masakan tidak semuanya pelakon hebat, mereka sudah tahu apa yang ingin dilakukan apabila masuk ke set penggambaran.

“Jadi, saya memang membuat persediaan lebih daripada biasa. Tipulah jika tidak rasa tertekan,” ujar Trisha tentang drama yang diterbitkan oleh Anomali Media & Production.

Sambung Trisha, dia bersyukur dapat terlibat dalam sebuah karya yang disifatkan yang bukan sahaja berkualiti tetapi merupakan pentas untuk barisan pelakon senior membuat kemunculan semula dalam drama.

“Saya rasa bertuah sangat sebab sudah begitu lama abang Faizal Hussein tidak berlakon dalam drama TV3, drama ini kemunculan semulanya dan dia menjadi bapa saya.

“Terasa seperti impian menjadi nyata. Sejak kecil saya melihat abang Faizal berlakon dan sekarang saya dapat berlakon dengannya bagai satu rezeki,” kata Trisha.

Ditebak tentang impiannya sebagai pelakon, Trisha yang memiliki latar belakang sebagai pelakon lagak ngeri berharap diberi peluang untuk menggunakan kelebihannya dalam naskhah akan datang.

“Sekarang saya dikenali dengan pelakon drama meruntun jiwa, sebenarnya saya bermula sebagai pelakon lagak ngeri.

“Jadi, saya berharap pada masa depan saya akan diberi kesempatan untuk menunjukkan bakat dalam aksi lagak ngeri.

“Saya bukanlah orang yang berlakon sekadar suka-suka sebaliknya inilah periuk nasi saya.

Oleh itu, saya mahu dipandang sebagai pelakon yang berkebolehan dan serius dalam kerjaya,” tutur Trisha menutup bicara.

Bermula sebagai pelakom lagak ngeri, Trisha kini meriah dihujani tawaran watak air mata. – Syakir Radin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN