PETALING JAYA – Pemilik kelab bola sepak Liga Super Malaysia, Kelantan FC atau The Red Worrior, Norizam Tukiman pernah menegur Perak FC tahun lalu berkenaan peralihan penswastaan kelab dari utara itu.
Dalam satu hantaran yang dibuat Norizam atau lebih dikenali Zamsaham pada 15 April 2022, dia telah menegur pihak Perak FC bahawa untuk menswastakan sebuah kelab bola sepak adalah bukan satu perkara yang mudah.
“Ada yang tanya, jadi saya jawablah sedikit pandangan saya tentang penswastaan kelab Perak FC, pandangan sahaja, tanpa niat mencampuri hal kelab lain.
“Perak FC, hari ini kita lihat dengan mata sendiri, bagaimana sebuah kelab ternama ditinggalkan, gaji berbulan-bulan sangkut. Satu negeri dikhabarkan. Tiada yang tampil, tiada yang berani mempertaruh modal ada yang kata sembang kencang.
“Yang ambil Perak FC, bersiap sedia lalui liku-liku, saya tahu bukan mudah nak selamatkan pasukan yang karam, kelab yang berhutang sana sini dan dikenakan ‘tranfer ban’,” tulisnya sebelum ini.
Namun hantaran tersebut kini menjadi viral selepas dicari kembali oleh peminat bola sepak tempatan setelah Perak FC berjaya membelasah The Red Worrior dengan jaringan 8-0 dalam saingan Liga Super hujung minggu lalu.
Walaupun didakwa hantaran tersebut telah dibuang, namum peminat terutamanya dari Perak sempat ‘memerli’ Zamsaham yang kononnya dia sahaja mampu untuk menguruskan kelab bola sepak sepertimana yang telah dilakukan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang berjaya membawa kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
Rata-rata pengguna media sosial ketika ini memerli pemilik The Red Worrior itu yang didakwa hanya pandai bercakap dan tidak mampu mengurus pasukan dari pantai timur itu.
“Kesian TRW yang dulunya satu pasukan yang hebat, sebelum ini kita tahu pasukan ni banyak hutang dan Zamsaham sudah bantu. Tapi pengurusan tetap teruk. Bertabahlah pemain muda Kelantan,” ujar Pop Meri.
“Lepas sahaja Kelantan FC tu, cuba pengurusan baharu pula. Aku tengok dah tak boleh Zamsaham teraju tu. Pemain ramai yang bagus, sayang la,” kata Muhammad Izwan Talhah.
Untuk rekod, Kelantan FC merupakan kelab pertama di Liga Super yang mempunyai jumlah bolos gol paling tinggi dalam sejarah Malaysia apabila hampir 100 gol bolos dalam saingan musim ini.
Sebelum ini, Kelantan FC pernah dibelasah Terengganu FC dengan jaringan 8-0, JDT (10-0), Selangor FC (11-2) manakala terbaharu pada 25 Oktober lalu dikalahkan oleh Perak FC 8-0. -KOSMO! ONLINE.