JOHOR BAHRU – Sindiket pemerdagangan hidupan liar dan individu tertentu kini mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan menjual binatang yang dilindungi menerusi media sosial terutama Facebook.
Kegiatan penjualan haiwan liar secara haram itu disyaki didalangi rakyat tempatan yang bertindak sebagai orang tengah kepada penjual yang terdiri daripada pemburu haram, peniaga dan pembiak baka binatang.
Pemerhatian Kosmo! di beberapa akaun Facebook mendapati, aktiviti mempromosi jualan hidupan liar yang dilindungi begitu aktif.
Bagaimanapun, kebanyakan akaun Facebook itu hanya dapat dilihat oleh ahli kerana dilakukan secara tertutup.
Pihak berkuasa mendedahkan, seekor anak beruang misalnya dijual pada harga RM3,500 seekor dan anak harimau akar pula mencecah RM25,000 seekor.
Jaringan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar Asia Tenggara juga mengesan sekurang-kurangnya 14 akaun laman sosial terutamanya Facebook mendalangi penjualan hidupan liar secara haram di negara ini.
Kegiatan itu dikesan melibatkan kira-kira 70,000 ahli yang menyokong aktiviti tersebut.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, modus operandi sindiket terbabit licik apabila mereka menggunakan laman sosial terutama Facebook untuk mencari pembeli menerusi pengiklanan jualan binatang liar.
“Sindiket ini bijak, dia buat iklan di internet dan Facebook menggunakan nama samaran atau akaun palsu, tetapi kita ada pasukan khas yang sudah tahu selok-belok taktik mereka.
“Mereka ini kita panggil sebagai jenayah siber hidupan liar,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Salman berkata, sindiket terbabit menjual bahagian atau produk berasaskan hidupan liar seperti ukiran gading gajah, rantai taring harimau, rantai kunci kuku beruang dan kulit harimau.
Malah, ada juga yang menjual hidupan liar yang hidup untuk dijadikan haiwan kesayangan seperti anak beruang matahari, anak harimau, anak kucing batu, anak lotong, anak ungka, kura-kura dan anak buaya tembaga.
Selain itu, pelbagai spesies burung seperti helang, enggang, kakak tua, barau-barau dan murai batu juga dijual di media sosial.
“Selepas pembeli berminat dan menghubungi nombor yang tertera di Facebook, orang tengah akan menghubungi si penjual memberitahu ada pelanggan yang mahu mendapatkan haiwan yang diiklankan.
“Mereka akan mengadakan pertemuan sulit di satu lokasi yang kebiasaannya di kawasan rehat dan rawat lebuh raya, stesen minyak, hentian bas, hadapan pusat beli-belah atau berdekatan restoran makanan segera,” ujarnya.
Salman berkata, pembayaran biasanya menggunakan transaksi online atau secara cash on delivery (COD).
“Ada juga yang menggunakan perkhidmatan kurier atau pengangkutan awam seperti bas ekspres,” katanya.

Salman memberitahu, harga haiwan liar yang dijual sindiket terbabit adalah bergantung kepada spesies serta peringkat umur sama ada juvenil atau sudah dewasa.
Contohnya bagi spesies burung harga yang ditawarkan antara RM250 hingga RM2,500 seekor dan spesies kura-kura pula antara RM250 hingga RM1,500 seekor.
Bagi spesies primat seperti lotong, kongkang, ungka dan kera pula dijual antara RM380 hingga RM2,800 seekor.
Seekor burung yang memiliki bulu yang cantik seperti barau, serindit dan nuri pula dijual antara RM150 hingga RM3,000.
“Pernah juga ada penjual yang menawarkan seekor anak beruang pada harga RM3,500 dan anak harimau dengan harga mencecah RM25,000.
“Pemburu haram kebiasaannya hanya akan mengambil anak beruang, tetapi ibunya akan dibunuh untuk dijual kepada pengusaha restoran eksotik atau dimakan sendiri,” katanya.














