PUTRAJAYA – Budaya meraih simpati dan meminta penonton memberi pelekat hadiah ketika membuat penstriman langsung di aplikasi TikTok merupakan satu tindakan yang boleh menjejaskan kredibiliti pencipta kandungan.
Pencipta kandungan TikTok dikenali sebagai Mira, 26, berkata, tindakan itu bukan sahaja menyebabkan penonton muak, malah mampu menurunkan jumlah tontonan ketika penstriman langsung.
“Ia semakin menjadi-jadi apabila ada segelintir pencipta kandungan memaksa penonton termasuk memberi pelekat hadiah sebagai tanda sokongan.
“Selain mencalarkan imej pencipta kandungan yang lain, sikap itu juga mampu menurunkan jumlah tontonan, sekali gus memberi kesan kepada individu terlibat terutamanya mereka yang mencari rezeki di TikTok,” katanya.
Menurut Mira, pelekat hadiah sepatutnya diberi secara ikhlas sebagai menghargai usaha mencipta kandungan dan ia tidak perlu melibatkan unsur meminta-minta.
“Sebagai contoh, saya juga ada menerima pelekat hadiah daripada penonton ketika membuat live, tetapi saya tidak pernah meminta atau memaksa mereka berbuat demikian,” katanya.
Ujar Siti Atikah, dia selalunya akan menerima hadiah atau pelekat ketika membuat live selama tiga jam sehari sebagai tanda sokongan.
“Saya biasanya meraih sekitar RM500 ke RM600 sebulan apabila menukarkan pelekat hadiah itu dengan wang tunai,” katanya.














