fbpx
Keadaan pekan Tak Bai, Thailand selepas berlaku kejadian letupan bom dan berbalas tembakan semalam. – MEDIA SOSIAL

Tak Bai: Penduduk risau terkena peluru sesat, serpihan bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Pekan Tak Bai, Thailand yang hanya dipisahkan dengan jarak kurang 100 meter dari sempadan negara ini kembali digegarkan dengan letupan bom dan insiden berbalas-balas tembakan awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengejutkan penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Malaysia-Thailand ­khususnya di Pengkalan Kubor di sini.

Seorang penduduk Nurul ­Shazwa Jaafar, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari pekan Tak Bai.

Menurutnya, selepas letupan berkenaan, dia dikejutkan pula dengan beberapa das tembakan.

“Terperanjat dengan kejadian itu, saya terus bangun dan menbuka sedikit tingkap untuk melihat apa yang sedang berlaku di Tak Bai.

“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah sebenarnya yang berlaku. Pada masa sama, saya tidak berani untuk membuka tingkap dengan luas kerana bimbang terdedah dengan peluru sesat,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Nurul Shazwa memberitahu, meskipun sudah lali dengan insiden letupan bom di negara jiran, namun situasi itu tetap menakutkannya.

Fitri melihat lokasi letupan bom dan berbalas tembakan yang berlaku di Tak Bai, Thailand ketika ditemui di Kampung Tanjung, Pengkalan Kubor, Tumpat semalam.
– ROHANA ISMAIL

Seorang lagi penduduk, Fitri Karim, 20, berkata, kejadian awal pagi semalam tidak seteruk insiden letupan bom dan berbalas tembakan pada Mei tahun lalu.

“Kejadian sebelum ini berlaku sehingga bergegar rumah penduduk dan serpihan bom sampai ke kampung kami.

“Kali ini, kami hanya dengar bunyi letupan bom dan berbalas tembakan sahaja. Kejadian itu berlaku di pos kawalan polis pekan Tak Bai yang jaraknya hampir dua kilometer dari tebing Sungai Golok” katanya.

Tinjauan Kosmo! di pintu masuk sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini semalam mendapati urusan masih berjalan seperti biasa.

Sementara itu, laman ­berita Thaiger melaporkan, empat pegawai cedera dalam konfrontasi sengit antara polis dan penjenayah yang melakukan serangan dan pengeboman di wilayah Narathiwat, Thailand.

Menurutnya, dalam insiden berkenaan penjenayah didakwa telah menanam bom berhampiran pusat pemeriksaan Tabah di daerah Tak Bai secara rahsia awal pagi semalam.

Untuk rekod, dalam kejadian pada 26 Mei tahun lalu, tiga anggota keselamatan cedera selepas Balai Polis Marin diserang dengan tembakan dan letupan bom.

Kejadian berlaku pada pukul 9.35 malam selepas enam penye­rang tidak dikenali melemparkan bom dan melepaskan tembakan di stesen tersebut.

Tiga mangsa cedera akibat terkena serpihan letupan bom dan merupakan anggota sukarelawan pertahanan di pos ­tersebut.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tak Bai sebelum dipindahkan ke Hospital Narathiwat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN