SETIAP kali musim buah seperti durian, rambutan, manggis dan langsat, sudah pasti kawasan dusun dan semak samun di kawasan kampung ditebas sehingga bersih.
Sebelum kawasan dusun terbabit dibersihkan, langkah keselamatan perlu diambil dengan penuh berhati-hati bagi memastikan kawasan yang terdapat binatang berbisa tidak ditebas sewenang-wenangnya.
Begitu juga dengan kawasan yang dipercayai menjadi tempat makhluk halus seperti jin dan bunian, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya tidak mengganggunya.
Kisah menyeramkan ini berlaku di sebuah desa yang terletak di salah satu negeri di utara tanah air semasa musim buah-buahan kira-kira 30 tahun lepas.
Menurut seorang pesara sektor swasta, Ramlan Rahman, 62, dari Kuala Selangor, kisah tersebut berlaku semasa dia membawa isteri dan dua anak perempuannya yang berusia 8 dan 6 tahun balik kampung untuk makan buah-buahan di tanah pusaka keluarga.
“Perjalanan dari rumah hingga ke kampung saya di sebuah negeri di utara memakan masa tiga jam. Saya bertolak selepas solat subuh dan sampai kira-kira pukul 10 pagi.
“Oleh kerana tidak sabar untuk menikmati durian yang baru luruh pagi itu, saya dan keluarga terus ke dusun kira-kira 500 meter dari rumah pusaka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ramlan berkata, ibu bapanya begitu gembira menyambut kepulangan anak, menantu dan cucu pada pagi yang terang-benderang itu.
Katanya lagi, anak-anaknya pergi bermain di bawah sebatang pokok rambutan di belakang dangau di dusun sambil dia dan isteri berbual bersama ibu bapanya.
“Saya membiarkan anak-anak bermain di situ kerana kawasan bawah pokok rambutan tersebut amat bersih dan saya pasti tiada binatang berbisa di situ.
“Anak-anak saya bermain dengan gembira dan kedengaran gelak ketawa mereka.
“Saya dan isteri makan durian kampung yang baru luruh dengan penuh selera seperti orang kemaruk, sampai lupa anak yang leka bermain tanpa ditemani orang dewasa,” katanya.
Ramlan memberitahu, kelazatan durian kampung tersebut menyebabkan dia dan isteri tidak berhenti-henti memberi komen seolah-olah ‘influencer’ membuat ‘review’ produk.
Katanya lagi, ibunya pula bercerita tentang harga durian yang tidak berapa tinggi kerana berlambak di pasaran dan terpaksa dibuat dodol atau lempuk.
“Cara arwah ibu bercerita menimbulkan rasa lucu dan kami berempat terus ketawa besar.
“Tiba-tiba ketika sedang berbual, saya baru perasan suara gelak tawa kedua-dua anak saya tidak lagi kedengaran.
“Kali ini kami yang berada di dangau seperti mendengar mereka sedang berbual-bual bersama seseorang,” katanya.
Jelasnya lagi, ketika itu, dia cuba bersangka baik bahawa anak-anaknya mungkin berbual dengan pemilik dusun durian di tanah bersebelahan.
Bagaimanapun Ramlan menjelaskan, hanya suara anak-anaknya yang kedengaran menjawab, sedangkan suara orang bertanya langsung tidak berbunyi.
“Saya menunjukkan isyarat senyap kepada isteri dan ibu bapa saya bagi membolehkan kami mendengar suara orang yang bertanya.
“Namun, kami masih mendengar suara kedua-dua anak perempuan saya yang berlawan cakap dengan kawan ‘khayalan’ mereka.
“Tiba-tiba anak bongsu saya menangis kesedihan. Kali ini kami berempat yang berada di depan pangkin dangau terus meluru ke kawasan belakang dangau tersebut,” ujarnya.
Cerita Ramlan lagi, apa yang mengejutkan mereka, hanya kelibat kedua-dua anaknya berada di lokasi yang hanya 10 meter jaraknya dari kawasan dangau di dusun durian itu.
Apa yang lebih mengejutkan Ramlan, anak perempuan sulungnya memberitahu, adiknya menangis disebabkan ‘nenek cantik’ meninggalkan mereka kerana ingin balik ke rumahnya.
“Nenek cantik itu berambut putih berselendang merah, berbaju kurung serba hijau, begitu cerita anak saya.
“Along (anak pertama Ramlan) memberitahu, nenek cantik itu mengajak mereka bermain di bawah pokok ara tidak jauh dari dusun keluarga saya.
“Adiknya hendak mengikut, tetapi kakaknya tidak izinkan. Itu yang menjadi punca dia meragam,” katanya lagi.
Ujar Ramlan, nenek cantik yang dimaksudkan anaknya itu langsung tidak kelihatan dan yang tinggal cuma bau wangi seharum kasturi.
Pengalaman pelik itu bukan perkara pelik kerana sebelum ini ada beberapa insiden misteri berlaku selepas kawasan dusun tersebut dibersihkan.
“Kadang-kadang terdengar orang berbual-bual di kawasan pokok ara yang kononnya menjadi lokasi rumah ‘nenek cantik’ yang disebut anak saya.
“Bau orang memasak gulai masak lemak cili api sebelum masuk waktu solat zuhur juga pernah terjadi, sedangkan kawasan tersebut tiada rumah penduduk kampung,” jelasnya.
Menurut Ramlan, peristiwa yang menyeramkan itu sudah tidak diingati oleh anak keduanya, namun anak sulungnya masih mengingati rupa nenek cantik itu.
Anaknya memberitahu, nenek itu berambut putih, berhidung mancung, bermata hitam besar dan bermulut merah serta peramah.
Nasihat Ramlan kepada ibu bapa di luar sana, jangan leka dengan sesuatu perkara sehingga mengabaikan anak-anak.
“Apa yang membimbangkan, orang sekarang sibuk dengan telefon pintar hingga tidak sedar perkara buruk berlaku kepada anak-anak.
“Harta benda boleh dicari, jangan sampai kerana leka dan lalai, anak-anak kita hilang buat selamanya daripada dakapan,” katanya sebelum menutup bicara.















