GEORGE TOWN – Ibu bapa yang terkesan sumber kewangan seharusnya mencari kaedah terbaik dengan mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat di negeri masing-masing.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ibu bapa jangan terlalu membebankan masalah keluarga kepada anak-anak sehingga menjejaskan masa depan mereka.
“Kena ikhtiar, mungkin ibu bapa yang tinggal di kawasan perkampungan atau pendalaman tidak tahu di mana untuk mencari sumber bantuan untuk anak-anak dan keluarga. Jadi, mereka boleh meminta bantuan kepada penghulu atau wakil rakyat.
“Tidak payah suruh mereka bekerja untuk bantu keluarga, biar mereka bersekolah sampai habis belajar. Ibu bapa wajib menyara anak-anak sehingga mereka (anak-anak) mampu berdikari,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Salim berkata, ibu bapa sepatutnya mempunyai rasa simpati atau kasihan dengan anak-anak kecil yang terpaksa bekerja bagi menyara kehidupan keluarga.
“Mereka (anak) memang boleh bekerja tetapi tak pandai fikir. Mereka seronok apabila dapat pendapatan sendiri. Tetapi berapa sangat, jika kita bagi peluang mereka belajar sehingga ke peringkat lebih tinggi.
“Jika belajar sampai ke universiti, masa depan depan akan lebih cerah dengan pendapatan yang tinggi. Boleh menjawat jawatan ketua-ketua jabatan atau penyelia,” jelasnya.














