PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat berserta ribut petir masih lagi berpotensi untuk berlaku di hampir kesemua negeri di Semenanjung.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya hari ini berkata, keadaan itu lebih tertumpu di negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta negeri Kelantan.
“Bagi Malaysia Timur pula keadaan cuaca lebih sedikit ke arah lembap, bagaimanapun hujan lebat masih lagi berpotensi untuk berlaku di bahagian Kuching, Sarawak begitu juga di Pedalaman dan Sandakan, Sabah,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, paparan carta angin semasa menunjukkan rantau negara sedang menerima arah angin dari pelbagai hala dengan kelajuan agak lemah sekitar 10 hingga 20 kilometer per jam.
“Oleh itu, MetMalaysia tidak mengeluarkan sebarangan amaran angin kencang dan laut bergelora buat ketika ini.
“Jadi, keadaan ini sesuai untuk sebarang aktiviti di laut dan juga menangkap ikan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE