SETIAP manusia di dunia ini dilahirkan dengan nasib yang berbeza. Ada yang dilimpahi dengan harta banyak, ada yang hidup dalam kemiskinan melarat, ada yang berpangkat tinggi, tidak kurang pula yang menjadi orang bawahan.
Itulah resam kehidupan yang memerlukan kita berfikir dengan akal yang cerdas dan berlapang dada untuk menerima seadanya bagi memperbaiki kehidupan pada masa depan.
Dalam erti kata lain, tidak mungkin nasib kita sama dengan orang lain, hatta dengan adik-beradik dan saudara mara sendiri.
Justeru, jangan sekali-kali membandingkan hidup kita dengan orang lain yang dianggap berjaya dalam hidup seperti dikurniakan harta melimpah ruah.
Jika kita terlalu cemburu dengan membandingkan diri dengan orang lain, hati kita akan sentiasa sakit, sebaliknya dengan menjadikan kejayaan mereka sebagai dorongan untuk berjaya, kita akan jadi lebih baik.
Kalau mahu bandingkan juga, lihat mereka yang berada di bawah dan bukannya melihat orang yang di atas, barulah kita akan berasa bersyukur dengan nikmat dan kurniaan Allah.
Jangan kerana kita melihat rakan selalu menunjukkan percutian mewah di luar negara di media sosial, kita berasa sakit hati dan berasa kecil hati.
Mungkin kita tidak tahu, dia sebenarnya bergelut dengan masalah kepincangan rumah tangga, begitu juga ketika kita melihat dia dipuja kerana rupa paras menawan, dia sebenarnya sunyi tanpa insan yang boleh dipanggil sahabat sejati.
Biarlah mereka dengan sikap sebegitu, kita dengan cara kita. Kalau kita mampu untuk healing dengan mendaki bukit berhampiran rumah, itulah kebahagiaan buat diri kita. Buatlah apa yang kita mampu dan jangan cuba mencapai apa yang tidak terjangkau ‘tangan’.
Bagi umat Islam, ada empat ketentuan hidup manusia yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT sejak belum dilahirkan ke dunia, iaitu rezeki, ajal kematian, amalan dan nasibnya sama ada menjadi seorang yang susah atau senang.
Dalam hal ini, hidup kita tidak akan pernah puas apabila cuba menjadi orang lain, mengidamkan sesuatu yang di luar kemampuan.
Hidup ini sebenarnya adalah saling melengkapi dan ingatlah manusia itu sifatnya tidak sempurna. Setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan di dunia ini.
Orang kaya tidak mampu hidup bersendirian, mereka memerlukan bantuan orang lain termasuk orang miskin bagi membantu memudahkan urusan harian.
Mana mungkin hidup kita sama sahaja dengan orang lain kerana setiap orang punya jalan cerita sendiri. Justeru jangan sibuk membandingkan apa yang kita ada dengan nasib orang lain.
Tidak boleh dibuat perbandingan antara matahari dan bulan. Kedua-duanya bersinar apabila tiba masanya.
















