ALOR SETAR – Kebiasaannya kes-kes perceraian dikaitkan dengan gangguan orang ketiga iaitu lelaki atau wanita yang dipanggil ‘penyondol’ dan masalah kewangan, namun ada pasangan yang memilih bercerai disebabkan kongkongan melampau ahli keluarga.
Mendedahkan perkara itu, Peguam syarie, Farah Diyana Azhar berkata, nisbah kes perceraian disebabkan campur tangan keluarga yang dikendalikannya adalah dua bagi lima kes cerai yang dilaporkan secara keseluruhan.

“Biasanya campur tangan ini melibatkan pengurusan kewangan si anak, malah ada ibu yang mengatur seluruh hidup anak lelakinya sehingga hal berkaitan ‘dalam kelambu’.
“Kongkongan atau campur tangan melampau ini akan menyebabkan rumah tangga itu goyang seterusnya menjadi ‘barah’ dan boleh mengundang kepada perceraian,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Farah Diyana, terdapat kes ibu bapa meminta anak lelaki mereka membuat pinjaman untuk membeli rumah, namun tinggal bersama anak-anak yang lain, sedangkan ia di luar kemampuan anak tersebut.
“Anak itu terpaksa akur kerana tidak mahu dianggap derhaka. Lebih teruk, anak lelaki itu terpaksa menyediakan semua keperluan ibu bapa serta adik-beradiknya termasuk yang sudah bekerja,” katanya.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan hampir kesemua wang gaji lelaki tersebut habis sedangkan dia mempunyai tanggungjawab ke atas isteri dan anak-anaknya.
“Si isteri pula terpaksa menanggung perbelanjaan. Sampai satu tahap, isteri tidak lagi boleh bersabar dan memohon perceraian,” ujarnya.
Jelas Farah Diyana, terdapat juga kes seorang ibu mengatur rumah tangga anak lelakinya seperti di mana cucu perlu bersekolah, pemilihan barangan untuk dibeli, percutian keluarga dengan semua perbelanjaan ditanggung anak. Lebih teruk wanita itu bertanyakan tentang hubungan kelamin anak.
“Dia buat semua itu kononnya untuk memastikan kehidupan anak lelakinya terjaga, tetapi perbuatan tersebut hanya akan merosakkan rumah tangga anak sendiri,” ujarnya.
Jelasnya, ada sesetengah ibu bapa menjadikan anak mereka sebagai ‘pelaburan’ hari tua dengan menetapkan pemberian wang dalam jumlah tertentu tanpa menyedari ia membebankan anak.
“Ada rumah tangga boleh diselamatkan jika pasangan dan ahli keluarga berbincang bagi menyelesaikan masalah itu. Biasanya, anak lelaki tersepit antara ibu atau isteri. Salah satu pihak perlu berkorban,” ujarnya.
Tambahnya, kebanyakan anak lelaki faham akan tanggungjawab suami dalam mendahulukan nafkah kepada isteri, namun mereka tersepit.
Ujarnya, terdapat kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajiban yang mana mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.














