fbpx
MARDI memberitahu, pesawah di Sekinchan sentiasa mengamalkan amalan Rice Check.

Pesawah Sekinchan hasilkan padi terbaik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UMUM mengetahui bahawa Kedah sinonim dengan gelaran negeri Jelapang Padi kerana banyak sawah padi diusahakan di sana.

Namun begitu, Selangor juga sebenarnya terkenal dengan pengeluaran padi dan Sekinchan merupakan salah satu kawasan yang menghasilkan pengeluaran paling tinggi di negara ini.

Bahkan, Sekinchan sering dijadikan contoh dan ikutan dalam pengeluaran padi di negara ini. Ramai penduduk di Sekinchan mengusahakan tanaman padi dan ia telah menjadi pendapatan utama mereka.

Bagi membincangkan tentang pengeluaran padi di Sekinchan, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Pasir Panjang, Mardi Sukir baru-baru ini.

KOSMO AHAD!: Sekinchan dan sawah padi begitu sinonim, bahkan ia dikatakan jelapang padi paling berjaya di Malaysia dengan pengeluaran hasil paling tinggi di negara ini. Berdasarkan pembacaan di internet, jumlah empat tan sehektar adalah purata penghasilan padi yang direkodkan bagi seluruh negara, namun di Sekinchan mampu hasilkan 13 tan padi sehektar dengan gred bermutu tinggi. Boleh kupas mengenai pengeluaran padi di Sekinchan?
MARDI: Bagi mendapatkan hasil pengeluaran yang tinggi, ia bergantung kepada beberapa faktor dan pertamanya adalah tanah itu sendiri.

Tanah ini mempunyai beberapa jenis dan di Sekinchan kita ada beberapa kawasan yang dinamakan sebagai Ban 1, Ban 2 dan Ban 3.

Di kawasan Ban 3, jenis tanahnya adalah gambut dan hasil pengeluaran padinya agak kurang.

Sementara itu, kawasan lain adalah jenis tanah liat dan kebiasaannya ia akan memberikan hasil lebih banyak.

Tetapi di Sekinchan, kawasan tanah gambut tidak banyak, rata-rata kawasan tanah di sini adalah bermutu bagi membolehkan pengeluaran padi yang tinggi dihasilkan.

Selain tanah, faktor petani atau pesawah juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan pengeluaran padi yang tinggi.

Di Sekinchan, apa yang boleh saya katakan usaha pesawah adalah berlebihan dan mereka sanggup melabur modal untuk menambah input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain, sekali gus membolehkan pengeluaran padi ditingkatkan.

Pada 2020, Sekinchan mendapat lebih 15 tan metrik (mt) bagi keluasan 1.72 hektar (ha), ini bermakna penghasilannya adalah 8.84 mt/ha.

Untuk pengeluaran padi di Sekinchan hingga Sungai Nipah, hasil pengeluaran adalah 30,670 mt bagi anggaran keluasan 6,718 ha dan purata hasil padi adalah 4.57 mt/ha.

Bagi musim pertama 2023, purata hasil padi untuk kawasan pengairan Sekinchan sahaja adalah 6.02mt/ha.

Bagi keseluruhan kawasan pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, walaupun menurun hasilnya, namun lebih tinggi berbanding kawasan lain.

Berapakah luas jelapang padi di Sekinchan dan jumlah pengusaha padi? Adakah pengusaha sawah padi terdiri dalam kalangan penduduk Sekinchan dan mengusahakannya secara sepenuh masa?
Berdasarkan maklumat daripada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor yang merupakan satu agensi kerajaan mentadbir kawasan sawah padi di bawahnya, ada 18,854 ha.

Daripada jumlah itu, ia dibahagikan kepada tiga kawasan yang merangkumi PPK Tanjung Karang, PPK Pasir Panjang dan PPK Sungai Besar.
Bagi kawasan Sekinchan ini keluasan bertanamnya adalah 1,465 ha dan diusahakan oleh 495 orang secara sepenuh masa.

Sekinchan merupakan pengeluar padi terbaik di Malaysia. Apakah faktor-faktor yang mendorong pengeluaran padi terbaik ini? Adakah ia berkait dengan kaedah penanaman atau disiplin pesawah itu juga? Boleh kongsikan mengenai perkara ini?
Dalam hal ini disiplin pesawah itu sendiri amat penting dalam mendorong pengeluaran hasil padi terbaik.

Selain menggunakan baja dan racun perosak diberikan oleh pihak kerajaan, pesawah di sini juga sanggup mengeluarkan kos sendiri membeli baja dan racun perosak tambahan buat tanaman padi mereka.

Ini sekali gus memberi hasil pengeluaran padi yang lebih tinggi buat mereka.

Selain itu, pesawah di Sekinchan sentiasa berusaha menjaga tanaman mereka.

Ini kerana, mereka mengetahui bahawa akan memperoleh hasil lebih banyak jika banyak perhatian diberikan.

Pada masa sama, faktor pengairan juga memainkan peranan kerana tanaman padi memerlukan pengairan yang baik.

Jika air kurang, petani perlu sewa pam untuk masukkan air ke sawah.

Air yang kurang akan menyebabkan pertumbuhan padi tidak cantik dan hasil berkurangan.

Di Sekinchan, kita mempunyai sistem pengairan yang baik dan masalah sebegini dapat diatasi.

Adakah petani-petani di Sekinchan mempraktikkan penggunaan teknologi dalam penanaman padi bagi meningkatkan hasil? Apakah teknologi-teknologi yang digunakan? Sejauh mana teknologi tersebut telah memudahkan petani?
Petani-petani di Sekinchan sememangnya mengaplikasikan penggunaan teknologi untuk tanaman padi ini.

Salah satunya, mereka menggunakan kaedah penanaman secara transplanter yang memudahkan pengurusan ladang, kawalan penyakit dan perosak.

Selain itu, dron digunakan bagi menyembur racun.

Sebagai contoh bagi sawah padi berkeluasan satu hektar, masa yang diperlukan hanya sekitar tujuh minit.

Ia berbeza dengan kaedah tradisional yang memakan masa antara satu hingga dua jam.

Penggunaan dron ini juga dapat mengoptimumkan rawatan tanaman secara teliti.

Ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti pengeluaran, hasil dan mengurangkan kos.

Kebaikan teknik semburan menggunakan dron adalah lebih rata dan cepat, sekali gus meningkatkan hasil padi.

Difahamkan, Sekinchan bakal menjadi perantis kepada projek penanaman padi wangi yang pertama di negara ini. Boleh tuan ulas mengenai projek ini?
Kita memang ada menjalankan aktiviti tanaman padi wangi bersama FGV Holdings melalui FGV Integrated Farming Holding Sdn. Bhd.

Program penanaman padi wangi ini di bawah program Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) iaitu di kawasan sekitar Sekinchan, Pasir Panjang dan Sungai Leman.

Sebagai contoh, PPK Pasir Panjang bersama FGV melaksanakan tanaman ini melibatkan 11 pesawah dengan jumlah keluasan 20.10 ha.

Jumlah hasil 97.57 mt dan purata hasil padi wangi adalah 4.8 mt/ha.

Penanaman padi wangi ini memberi kelebihan kepada petani kerana harganya tinggi, di mana harga belian padi wangi adalah RM1,540 per mt. Selain itu, pesawah boleh mendapatkan pendahuluan kos operasi daripada PPK atau syarikat peneraju (SPV).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini menyatakan projek tanaman beras SMART SBB Sekinchan akan dilaksanakan dengan skala besar dan diperluas ke seluruh negara. Ia bagi mengelakkan pergantungan beras eksport. Ini menunjukkan projek ini telah berjaya di Sekinchan. Bagaimana reaksi pesawah-pesawah mengenai usaha ini?
Sepatutnya Sekinchan ini dijadikan contoh. Ini kerana kejayaan di sini adalah hasil disiplin pesawah sendiri yang sentiasa mengikuti Amalan Pertanian Baik Untuk Hasil Padi dan Mutu Padi (Rice Check) dan ia patut menjadi contoh.

Rice Check ini adalah panduan untuk menguruskan tanaman padi mengikut sasaran ditetapkan.

Ia mesti dipatuhi untuk pertumbuhan yang baik ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti.

Pemantauan pokok padi pada setiap peringkat pertumbuhan, pengurusan air, pengurusan pembajaan, serangan rumpai dan perosak serta penuaian padi adalah penting untuk mengenal pasti masalah, sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Pertumbuhan tanaman perlu diperhatikan, diukur dan data disimpan untuk panduan pengurusan musim selanjutnya.

Kita perlu belajar daripada pengalaman dan mengambil tindakan sesuai untuk meningkatkan pengurusan ladang pada setiap musim.

Petani juga harus mempunyai keazaman untuk mendapatkan hasil lebih dan mereka perlu mengusahakan tanaman dengan baik.

PENGGUNAAN teknologi membantu memudahkan kerja para pesawah.

Buat masa ini, apakah masalah yang dihadapi oleh petani-petani di Sekinchan? Adakah terdapat sebarang serangan penyakit atau serangga perosak yang boleh menjejaskan pengeluaran padi seperti siput gondang di Kedah?
Di kawasan ini, kita juga tidak terlepas daripada serangan penyakit yang tidak dijangka.

Kebiasaannya, Jabatan Pertanian dan kami akan membantu para petani mencegah serangan penyakit ini dengan lebih awal.

Jika kita dapat cegahnya dengan lebih awal, lagi bagus untuk tanaman padi membesar.

Selain itu, kami sentiasa berurusan dengan semua pihak yang terlibat bagi memastikan sebelum musim tuaian padi sebarang penyakit yang ada di kawasan ini diselesaikan terlebih dahulu.

Apabila ditanam, kita tidak boleh meninggalkannya terus, pemantauan perlu dilakukan secara berkala.

Di Kedah semakin banyak kawasan padi mula dibangunkan sebagai tapak kilang dan perumahan. Adakah kawasan di Sekinchan mengalami nasib sama sehingga menjejaskan kawasan penanaman padi?
Ketika ini, Sekinchan juga terkenal sebagai kawasan agro pelancongan.

Setiap minggu, ramai pengunjung terutamanya dari Lembah Klang sering datang ke sini.

Oleh yang demikian, ramai penduduk yang mengambil keputusan untuk membina banyak tempat pelancongan seperti inap desa, rumah burung, kedai makan dan lain-lain lagi.

Ini menyebabkan kawasan tanaman padi sedia ada mengalami pengurangan, tetapi tidaklah terlalu serius. Agro pelancongan juga sebenarnya memberi pendapatan secara pasif buat petani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN