fbpx
HUBUNGAN kaum di negara ini kekal utuh kerana adanya persefahaman dan sikap toleransi. – Gambar hiasan

Sabah, Sarawak bukan warganegara kelas kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMALAM, rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia sebagai tanda penyatuan tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Tarikh itu juga menjadi tanda sejarah bahawa satu persefahaman antara masyarakat berbilang kaum dan etnik untuk hidup bersatu di dalam sebuah negara.

Bagaimanapun, menjelang 60 tahun persefahaman itu, dasar kepada penyatuan berkenaan dilihat semakin pudar. Malah, jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semakin melebar dalam segala aspek.

Ditambah pula dengan pelbagai isu perpaduan dan bahasa yang berlaku, hal ini memerlukan satu solusi untuk memastikan perjuangan pemimpin dahulu tidak sia-sia.

Bagi membincangkan hal ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemu bual, Pengasas dan Pengarah Pusaka, Eddin Khoo untuk mengulas hal berkenaan.

KOSMO! AHAD: Hari Kebangsaan disambut bulan lalu dan Hari Malaysia disambut semalam, bagaimana tuan sifatkan keharmonian kaum di negara ini sepanjang tempoh kemerdekaan negara?
EDDIN KHOO: Pada pandangan saya, perhubungan kaum di negara kita amat rumit untuk dijelaskan kerana ia seperti ombak, ada pasang dan surutnya.

Sejak merdeka, sempadan antara kaum agak jauh, tetapi sikap kemasyarakatan itu memang ada.

Apabila kita menjadi satu negara bangsa, ia banyak tertakluk kepada isu perlembagaan, hak dan sebagainya. Negara bangsa itu mengangkat semangat kemasyarakatan ke satu tahap berbeza.

Perkara itu kadang-kadang membawa masalah kerana orang tidak fikir tentang masyarakat secara keseluruhannya. Namun, ia lebih kepada hak kaum atau bangsa.

Oleh yang demikian, ia menjadi punca kepada ketegangan masyarakat Malaysia sejak kemerdekaan.

Kita ada satu masalah yang boleh disifatkan sebagai semangat ke’bangsa’an, yang mana setiap masyarakat menganggap diri mereka mangsa kepada orang lain. Kita harus ingat kemerdekaan dapat dicapai kerana ada persefahaman. Jadi, kita perlu ada persefahaman melalui perbincangan.

Dalam konteks lain, hubungan masyarakat Malaysia mengikut kawasan (negeri) pula ada perbezaan dan itu perlu dikaji lebih mendalam untuk memahaminya.

Secara keseluruhan, Malaysia merupakan sebuah negara yang ‘siuman’, jika dibandingkan dengan negara sekeliling dari aspek hubungan kaum kerana masih berpegang pada sikap persefahaman serta kompromi.

Sebagai anak Malaysia, apa yang boleh tuan ungkapkan untuk menyatakan kebanggaan?
Saya tidak meletakkan rasa ‘bangga’ sebagai sebagai anak Malaysia. Namun, saya berpegang kepada satu semangat iaitu, ‘tanah tumpahnya darahku.’ Kita lahir di sini, kita hidup di sini, kita harus memahami dan mengenal latar belakang masyarakat.

Perkara ini perlu digalas dan saya mengangkat kelahiran di negara ini sebagai satu tanggungjawab.

Negara kita sangat istimewa dari segi corak dan ragam. Saya sangat selesa dengan pendekatan kita, iaitu setiap masyarakat ada ruang mereka sendiri. Perkara itu dibayangi oleh aspek-aspek kebudayaan dan kepercayaan yang dihormati serta difahami seterusnya menyumbang kepada keharmonian di negara ini.

Tuan boleh dianggap sebagai salah seorang ‘wajah’ Malaysia kerana latar belakang diri dan percampuran budaya, boleh tuan kongsikan bagaimana ia membentuk keperibadian tuan?
Saya mempunyai ibu bapa yang dianggap sebagai golongan minoriti.

Sepanjang membesar, saya diasuh seperti orang Melayu dan diajar supaya tidak menganggap aspek itu sebagai batasan, tetapi ia menjadi milik saya.

Dari segi latar belakang, ibu bapa juga banyak mendidik saya dengan pandangan yang terbuka.

Bukan senang sebagai anak campuran, ada cabaran tersendiri. Namun, disebabkan budaya Melayu sangat terbuka dan biasa dengan campur gaul, saya lebih dekat dengan kaum itu. Latar belakang sangat penting dan ia bermula dari rumah serta pendekatan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

Meskipun lahir dalam keluarga bukan Melayu, tetapi tuan dibesarkan dalam persekitaran Melayu dan Islam. Apakah kelebihan yang tuan dapat daripada situasi tersebut?
Pada saya, membesar dalam persekitaran Melayu dan Islam mendedahkan saya kepada semangat bebas dan terbuka.

Apa yang ingin saya tekankan, kita dapat wujud dalam satu negara bangsa yang bebas berasaskan budaya Melayu. Ia merupakan sebuah budaya yang sangat duniawi.

Semangat ini juga menjadi asas kepada kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan di Kepulauan Nusantara yang banyak berlakunya pertembungan budaya, tetapi kurangnya perselisihan.

Orang Melayu tidak seharusnya meninggalkan semangat duniawi ini. Meskipun budaya ini tidak boleh diwarisi, tetapi ia boleh dipelajari daripada akar umbi.

Ada segelintir masyarakat membesar dan hidup di negara ini hampir 30 hingga 40 tahun, namun gagal menguasai bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dengan baik. Ada juga yang memandang lekeh bahasa Melayu. Apakah pendapat tuan mengenai hal ini?
Hal ini merupakan sesuatu yang merisaukan kerana pendekatan masyarakat kita kepada satu-satunya bahasa tidak betul.

Kita mengangkat bahasa Inggeris tetapi tidak fasih bahasa itu, melainkan bahasa komunikasi sahaja.

Malah, kita mendekati sesuatu bahasa berdasarkan nilai pasarannya. Namun, lebih menyedihkan isu bahasa Melayu juga sudah dipolitikkan.

Tambahan pula, bahasa Melayu pada hari ini tidak mempunyai sistem. Namun, saya sokong banyak usaha Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dahulu, sistem telah dilengkapi oleh tokoh bahasa iaitu Za’ba, lebih baik kita berpegang kepada sistem tersebut. Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kita perlu memperhalusi bahasa itu.

Mengambil contoh di Singapura, pembelajaran bahasa Melayu di sana sudah meningkat tiga kali ganda kerana mereka masih menghargai bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan mereka.

Bila bukan Melayu tidak boleh berbahasa Melayu, apakah ia sesuatu yang menyedihkan tuan?
Dalam kalangan orang bukan Melayu, ada yang masih berfikiran secara kolonial. Lebih-lebih lagi, apabila ada orang Melayu kelas atasan yang sebegitu.

Hal ini sebenarnya memalukan kerana sikap memuji orang putih itu masih ada dan ia terletak pada darjat dan kelas.

Bagi orang bukan Melayu, mungkin ada segolongan yang mengikut sistem pendidikan lain dan kurang fasih, tetapi jumlahnya agak kecil.

Orang kata ‘Malaysia Truly Asia’, tuan setuju?
Saya tiada apa-apa isu tentang slogan tersebut atau mana-mana yang lain. Seperti kita tahu, negara kita penuh dengan slogan.

Pada pandangan saya, kefahaman masyarakat terhadap konsep slogan itu tidak ada.

Dalam hal ini, ia perlu diberikan pencerahan kepada masyarakat dan harus ada perbincangan tentang slogan tersebut. Bagi saya ‘Malaysia Truly Asia’ memang ada kebenarannya, tetapi ia hanya menjadi slogan untuk industri pelancongan kita sahaja.

Eddin Khoo

Sebagai rakyat Malaysia, apakah usaha yang boleh kita lakukan bagi memastikan masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sentiasa bersatu padu meskipun terpisah oleh Laut China Selatan?
Usaha ini sudah ada puluhan tahun dan saya rasa sikap saling memahami dalam keadaan yang agak kritis.

Kita tidak faham orang Sabah dan Sarawak ini bagaimana. Namun, sudah menjadi mentaliti segelintir pihak bahawa mereka adalah warganegara kelas kedua.

Saya rasa pandangan orang Semenanjung terhadap Sabah dan Sarawak boleh dianggap terlalu rendah.

Jadi, kita harus lebih banyak membuka ruang untuk menjalinkan hubungan dan persefahaman antara masyarakat yang dipisah oleh laut ini.

Kita perlu lebih fahami, apakah perkembangan politik lebih 60 tahun? Apakah perjanjian dan hakikat sebenarnya?

Ada pihak beranggapan, perpaduan kaum di Sabah dan Sarawak cukup harmoni. Namun, keharmonian itu tidak ketara di sebelah Semenanjung. Mengapakah perbezaan ini berlaku?
Sabah dan Sarawak kini sudah lebih kehadapan dalam membangunkan negeri mereka dan tidak mengendahkan hal-hal remeh-temeh terutama dari segi politik.

Oleh yang demikian, jurang antara masyarakat Semenanjung dan Sabah serta Sarawak semakin jauh.

Malah, mereka sudah mempunyai kuasa lebih besar. Sementara itu, perpaduan kaum di Sabah dan Sarawak boleh dilihat dari aspek pergaulan mereka yang lebih semula jadi. Terdapat perbezaan antara Sabah dan Sarawak, namun masih ada ketegangan di tahap politik terutama melibatkan suku kaum dan sebagainya.

Bagi orang Semenanjung, kita seharusnya celik dan membuka mata dalam percaturan geopolitik terutama usaha Indonesia untuk memindahkan ibu negara ke kepulauan Borneo. Ia akan wujud perhubungan lebih erat.

Setiap kaum dan etnik mempunyai budaya dan kesenian berbeza. Perbezaan budaya dan kesenian ini sepatutnya tidak memisahkan kita, sebaliknya menjadi alat kepada penyatuan. Boleh tuan ulas perkara ini?
Kalau dikatakan perbezaan budaya dan kesenian ini memisahkan, sebenarnya ia adalah masalah bila tidak berakar pada sejarah.

Kita perlu faham bagaimana rakyat muncul sebagai satu masyarakat, sebelum adanya sebuah negara bangsa. Kehidupan bersama di Malaysia seharusnya menjadi contoh kepada negara luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN