fbpx
ZAM diganggu lembaga ‘gemuk’ berwajah hitam ketika sedang menyiapkan tugas di pejabat pada tengah malam. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Misteri lembaga ‘gemuk’ di pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGGALAS tanggungjawab sebagai eksekutif pemasaran dan jualan di sebuah syarikat swasta memerlukan Zam (bukan nama sebenar) bekerja tanpa mengira masa.

Selain bertugas di luar berjumpa dengan pelanggan, Zam juga sering masuk ke pejabat menyelesaikan kerja-kerja tertunggak.

Bercerita kepada Panorama, Zam yang berusia 35 tahun berkata, pejabatnya terletak di Kapar, Selangor.

Sebenarnya, dia baru sahaja menyertai syarikat tersebut sekitar tiga tahun lalu.

“Sejujurnya, saya memang jarang masuk ke pejabat. Boleh dikatakan saya hanya masuk ke pejabat sekali atau dua kali seminggu, selebihnya berada di luar bertemu pelanggan.

“Masuk ke pejabat pun kadangkala disebabkan urusan kerja tertangguh, termasuk mesyuarat bersama ketua jabatan,” katanya.

Meneruskan perkongsian, Zam memberitahu, ada waktunya dia menyiapkan laporan kerja sehingga lewat malam dan berseorangan tanpa rakan sepejabat.

Ujarnya, ketika awal-awal dulu, semuanya baik-baik sahaja dan dia selesa bekerja, meskipun terpaksa pulang lewat.

“Kalau hari saya bekerja itu tidak jumpa mana-mana pelanggan, saya akan masuk ke pejabat dan siapkan apa yang patut.

“Biasanya, saya akan pulang lewat dan pernah balik hampir tengah malam kerana leka menyiapkan kerja,” ujarnya.

Pun begitu, sejak satu perkara tidak diingini berlaku terhadapnya, Zam nekad untuk tidak lagi pulang lewat sampai tengah malam.

Katanya, dia pernah diganggu dengan satu lembaga ‘gemuk’ berwajah hitam dan berambut panjang ketika sedang asyik menyiapkan kerja di hadapan komputer.

“Itu pengalaman misteri yang saya tidak pernah lupakan. Ketika itu sekitar pukul 11 malam, saya sedang sibuk menyiapkan laporan jualan bulanan.

“Saya diganggu pada hari Jumaat yang mana keesokan harinya saya bercuti. Jadi, alang-alang bercuti esoknya, saya ambil keputusan untuk pulang lewat sedikit.

“Ketika sedang sibuk menaip, kerusi yang saya duduk tiba-tiba ditarik dengan kuat sehingga membuatkan saya hampir jatuh ke lantai. Saya sempat lihat kiri dan kanan, tetapi tiada apa-apa.

“Mulanya, saya fikir mungkin ada rakan sekerja yang singgah ke pejabat atau memang pulang lewat seperti saya. Tetapi hati saya kuat mengatakan memang saya seorang sahaja yang berada di pejabat ketika itu,” katanya.

Menyambung bicara, Zam memberitahu, pada mulanya, dia malas ambil pusing dengan apa yang berlaku, tetapi akhirnya tidak tahan kerana diganggu berulang kali.

Kata Zam, tidak setakat ditarik kerusi, dia turut diketuk lembaga tersebut pada bahagian kepala dan belakang badan, selain ditiup pada kedua-dua belah telinga berulang kali.

“Masa mula-mula diusik, saya memang malas layan sebab fokus nak siapkan kerja. Namun, apabila dah melampau, saya pun mula naik angin dan membebel sendiri.

“Lampu di pejabat juga menjadi mangsa. Sekejap tutup, sekejap buka. Jadi, kerja yang saya nak siapkan memang terganggu.

“Geram dengan apa berlaku, saya menjerit kemarahan seolah-olah mengertak makhluk berkenaan supaya jangan kacau saya.

“Saya juga arahkan makhluk itu untuk muncul dan tunjukkan diri,” tuturnya.

Jelas Zam lagi, beberapa minit memarahi seakan-akan hilang akal, dia sekali lagi diganggu lembaga besar tersebut.

“Jelas di depan mata, saya dapat lihat satu lembaga hitam berpakaian putih dengan rambut panjang dan mata merah merangkak melintasi saya.

“Sambil merangkak, lembaga itu mendengus seakan-akan memarahi saya kembali. Kuku dan rambutnya yang panjang mengurai betul-betul menyeramkan.

“Sebelum lembaga itu menghilangkan diri, ‘dia’ sempat tertawa mengilai beberapa kali, sekali gus membuatkan saya cabut lari keluar dari pejabat,” katanya.

Akui Zam lagi, sejak itu, dia sudah tidak lagi pulang lewat malam dan sanggup membawa balik kerja tertunda untuk disiapkan di rumah.

Zam juga ada mendengar daripada sumber terdekat bahawa pejabatnya itu merupakan bekas tapak rumah penjagaan warga emas.

Ada kes pengasuh di situ menggantung diri dipercayai tertekan dengan kerjanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN