fbpx
ABDULLAH (berdiri belakang kiri) bergambar kenangan bersama bapa dan ibu serta empat adik-beradiknya yang terkorban dalam nahas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, petang Jumaat lalu.

Abdullah sedar, belum tahu ibu bapa, 4 adik-beradik maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Selepas 10 hari ditidurkan, remaja yang terselamat dalam nahas enam sekeluarga maut membabitkan kemalangan lima buah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat 1 September lalu akhirnya membuka mata dua hari lalu.

Norhayati Noor Muhammad, 51, berkata, anak saudaranya itu, Abdullah Amir Ruddin, 15, sudah memberi respon dengan membuka mata apabila namanya dipanggil selain dapat menggerakkan anggota badannya.

Menurutnya, wayar yang dipasang pada badan Abdullah dan alat bantuan pernafasan juga sudah ditanggalkan.

“Alhamdulillah dia juga dapat membuka mata apabila kami ahli keluarga memanggil namanya, dia beri respon kepada suara-suara yang dia kenal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Norhayati berkata, berdasarkan maklumat daripada doktor, Abdullah kemungkinan besar tidak akan dapat mengingati apa yang telah terjadi ke atas dirinya dan keluarga.

Ujarnya, ahli keluarga juga akan meminta nasihat pasukan perubatan sama ada untuk memberitahu kejadian yang meragut nyawa enam ahli keluarganya itu dalam masa terdekat atau sebaliknya.

“Buat masa ini, jika dia sudah baik dan pulih, kami fikir kena rujuk nasihat doktor sama ada kena beritahu hal sebenar seawal mungkin atau biar ingatannya pulih dahulu. Kami tidak mahu ada kesan tidak baik ke atas kesihatan dia bila dia dapat tahu,” katanya.

Menurutnya, Abdullah sepatutnya menjalani pembedahan pada bahagian muka dan tangan pada minggu ini, namun terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat jangkitan kuman pada kerongkong dan paru-paru.

“Pembedahan untuk membetulkan rahang kiri dan kanan Abdullah yang retak atau patah serta memasukkan besi pada tangannya ditangguhkan sebab dia ada jangkitan kuman dekat kerongkong serta merebak ke paru-paru.

“Jadi doktor sedang pulihkan jangkitan itu dengan memasukkan antibiotik untuk mematikan kuman itu dulu, bila sudah baik nanti akan buat pembedahan.

“Setakat ini dia masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat. Tetapi sudah menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Abdullah yang juga pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir, Muar merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri itu.

Dalam nahas pada pukul 6.37 petang, 1 September lalu, ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, dan bapa, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat beradiknya iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia.

Kejadian berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.

Setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Azla dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN