fbpx
Hishamuddin dan Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan ketika sidang akhbar melibatkan skim pelaburan kepentingan hartanah hari ini.

Skim pelaburan hartanah didakwa kaut wang pelaburan RM60 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima sebanyak 80 aduan mangsa penipuan membabitkan skim pelaburan kepentingan hartanah melibatkan pembangunan hartanah dan aset.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya turut mendengar pelbagai permasalahan serta rintihan mangsa yang telah mengikuti dan menyertai skim pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.

Jelasnya, konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut adalah dimana para pengadu dijanjikan dengan satu pemulangan dividen yang lumayan serta manfaat-manfaat lain dalam jangka masa 30 hingga 45 hari mengikut skim yang diambil.

“Para pengadu telah dimaklumkan oleh pihak syarikat bahawa syarikat tersebut sedang giat membangunkan perusahaan hartanah, hartani dan pembangunan aset di seluruh Malaysia dimana para pengadu dijanjikan pulangan dividen yang lumayan berdasarkan kepada program yang mereka sertai tersebut.

“Syarikat ini juga mendakwa mereka adalah syarikat kedua paling banyak menyumbang pembangunan di Langkawi, Kedah. Seterusnya, bagi hartani pula mereka menjalankan penanaman mangga harum manis, durian musang king, nangka madu dan sebagainya.

“Saya anggarkan hari ini lebih 1,500 mangsa membuat aduan dan saya sendiri pernah berjumpa dengan bekas Pengarah syarikat pelaburan terlibat. Pengarah ini menceritakan pihaknya telah mengumpul sebanyak RM60 juta, hasil pembayaran dari pelabur,” katanya ketika sidang akhbar di Nasken Coffee Sungai Besi, di sini, hari ini.

Menurut Hishamuddin, tawaran-tawaran program langganan saham tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat-syarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi kepada undang- undang yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengawalselia syarikat- syarikat pelaburan di Malaysia ini.

“Antara undang-undang mengawalselia syarikat-syarikat pelaburan tersebut adalah Akta Skim Kepentingan 2012, Akta Syarikat 2016, Capital Markets and Services Act 2007, Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, serta Anti- money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001.

“Sesebuah syarikat perlu mendapat kebenaran prospektus dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mana mempunyai satu garis panduan yang perlu dipatuhi sebelum mereka boleh terus menerima wang pelaburan dan pendanaan awam dari masyarakat umum,” ujarnya.

Hasil siasatan persendirian mangsa pula mendapati, tujuh daripada lapan pejabat syarikat di seluruh Semenanjung Malaysia telah berhenti beroperasi sejak tahun 2021.

“Projek-projek yang dimaklumkan juga tidak wujud kerana sebahagian besar gambar serta iklan yang digunakan untuk promosi skim pelaburan itu diambil dari Google sahaja.

“Ini menguatkan lagi teori serta tanggapan bahawa syarikat telah menipu dan memperdaya selain wakil pihak syarikat juga tampil memberi alasan yang mengelirukan dan memberikan maklumat palsu yang lain,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap mangsa-mangsa yang teraniaya agar tidak berputus asa dalam memperjuangkan hak mereka sehinggalah ‘mastermind’ sebenar dapat diberkas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Daripada 80 aduan, kita telah terima empat maklum balas PDRM berkaitan skim pelaburan terbabit. Ia melibatkan laporan dari Jitra, Kedah (3) manakala satu maklum balas laporan bagi Alor Setar, Kedah,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN