fbpx
Nik Nazmi.

IGEM 2023 sasar peluang perniagaan RM4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Acara perdagangan untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko terkemuka di Asia Tenggara, Persidangan Dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Oktober ini.

Bertemakan ‘Usaha Ke Arah Rendah Karbon: Kepimpinan dalam Tindakan Iklim’, acara itu menyasarkan peluang perniagaan bernilai RM4 bilion, penyertaan 400 gerai pameran dan 40,000 orang pengunjung dari lebih 40 buah negara.

Antara syarikat korporat terkemuka yang telah mengesahkan penyertaan untuk IGEM 2023 termasuk Solarvest Holdings Berhad, Samaiden Group Berhad, Polymateria Far East Private Limited, Cenergi SEA Berhad dan Leader EV Solutions Sdn. Bhd.

Penyertaan daripada peringkat antarabangsa pula termasuk Arctech Solar (China), Phoenix Green Energy (Austria), International Science Council (Perancis) dan Saxon Renewable Pte. Ltd (Singapura).

Acara yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan bantuan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) itu turut melibatkan penyertaan dari negara Austria dan Kanada.

Sejak penganjurannya pada 2010, IGEM telah merekodkan peluang perniagaan bernilai RM41 bilion dan penyertaan lebih 530,000 orang pengunjung termasuk dari lebih 112 buah negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, susulan seramai 3.3 bilion yang tinggal dalam keadaan yang terjejas di seluruh dunia, maka inovasi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang sedang dilaksanakan terus menjadi keutamaan.

“Persediaan untuk IGEM 2023 berjalan lancar, yang mana Malaysia berhasrat untuk menjadi tuan rumah kepada acara yang penuh dengan impak dan wawasan yang menawarkan pelbagai teknologi, produk dan penyelesaian yang inovatif bagi menyokong usaha tindakan iklim.

“IGEM 2023 memainkan peranan sebagai peneraju dalam mempercepatkan dan merealisasikan agenda Rendah Karbon dan Peralihan Tenaga Saksama di rantau ini.

“Ia merupakan satu-satunya platform yang menggabungkan teknologi pengubah industri, persidangan yang komprehensif, sesi pemadanan dan rangkaian perniagaan, penyertaan dari pelbagai negara, para pengunjung berprofil tinggi serta beberapa acara sampingan yang berlangsung serentak,” katanya dalam satu kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN