fbpx
Gambar hiasan

Antara jiwa parti dan jiwa merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI Kebangsaan yang juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan adalah hari yang dirayakan oleh seluruh rakyat khusus untuk memperingati detik bersejarah kemerdekaan negara.

Hampir semua negara yang pernah dijajah oleh kuasa asing menyambut Hari Kebangsaan masing-masing. Meskipun namanya berbeza-beza tetapi matlamat sambutan tetap sama iaitu bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat agar sayangkan tanah air yang bebas daripada belenggu kuasa luar.

Bahkan sambutan secara besar-besaran dengan mengadakan perarakan warna-warni, nyanyian, pertunjukan pentas, pertandingan, mengibar bendera dan pelbagai lagi aktiviti sampingan tidak sekadar untuk bersuka ria tetapi memberi makna yang cukup mendalam mengenai erti sebenar sebuah kemerdekaan.

Semua itu amat penting untuk diteruskan secara menyeluruh melibatkan semua peringkat umur, melangkaui perbezaan agama, bangsa dan budaya. Generasi muda khususnya perlu diberikan kefahaman jelas mengenai peritnya hidup di bawah kuasa penjajah oleh kerana mereka ini lahir pada zaman serba maju serta menikmati pelbagai kemudahan hasil perjuangan pemimpin terdahulu.

Namun malangnya hari ini, sambutan Hari Kebangsaan seolah-olah mahu dipesongkan oleh golongan tertentu dengan idea mewujudkan logo dan tema Hari Kebangsaan tersendiri.

Kita hairan apabila satu sambutan besar yang sepatutnya menjadi salah satu hari penyatuan kepada semua dengan menunjukkan rasa cinta dan sayangkan bumi Malaysia ini, tetapi ada pihak masih mahu mengadakan logo dan tema yang berbeza.

Kita juga pelik dengan tanggapan bahawa usaha itu akan disokong oleh sejumlah rakyat berdasarkan kepada sokongan yang diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Kita tertanya-tanya apakah PRN tersebut menjadi petanda bahawa pengundi turut memberi mandat kepada pemimpin Perikatan Nasional untuk merayakan sambutan Hari Kebangsaan mengikut cara berbeza dengan yang direncanakan oleh kerajaan Persekutuan.

Jika beginilah sikap pemimpin politik, nampaknya sukar untuk kita menggerakkan negara ke arah lebih maju, apatah lagi bagi mencapai tahap kesejahteraan rakyat baik dalam aspek ekonomi dan sosial.

Pemimpin seperti itu kelihatannya begitu banyak idea untuk melaksanakan program berpuak-puak (tribalism) sekali gus membayangkan betapa sentimen pilihan raya amat sukar diketepikan meskipun buat sementara waktu ketika menyambut Hari Kebangsaan.

Sepatutnya selepas apa juga pilihan raya, semua pihak kembali bertaut memikirkan mengenai rakyat memandangkan ramai yang belum mampu bangkit semula selepas dibadai Covid-19 tiga tahun lalu.

Negara pada 31 Ogos ini melangkah usia 66 tahun merdeka, satu tempoh yang sewajarnya mendewasakan kita untuk berfikir dan bertindak secara lebih matang, bijak dan menjadi tauladan kepada rakyat. Merdekakanlah sedikit jiwa kita ini daripada belenggu politik kepartian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN