fbpx

Skuad hoki lelaki negara ‘wajib’ tebus kekalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEGAGALAN menjuarai Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India dua minggu lalu menjadi pengajaran buat skuad hoki lelaki negara sebelum ke Sukan Asia Hangzhou, China bulan depan. Speedy Tigers mencipta sejarah baharu apabila melangkah ke final buat kali pertama sejak kejohanan itu mula diperkenalkan di Ordos, China pada 2011.

Impian menjulang trofi sulung tidak kesampaian apabila Malaysia mensia-siakan kelebihan dua gol dan membenarkan India bangkit seri 3-3 dalam tempoh kurang seminit, sebelum tewas 3-4 pada aksi final itu.

Keseluruhannya, Malaysia di ranking ke-9 dunia, menjaringkan 21 gol termasuk lapan menerusi pukulan sudut penalti selain penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menyelamatkan dua penalti stroke.

Berdasarkan prestasi semasa, persediaan Speedy Tigers berada pada landasan tepat untuk meraih pingat emas Sukan Asia Hangzhou bermula 24 September hingga 6 Oktober depan.

Cumanya masih ada satu perkara perlu dielakkan jika mahu memenangi pingat emas, sekali gus layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. Ini kerana aksi final ACT 2023 itu adalah perlawanan ketujuh tahun ini menyaksikan Speedy Tigers melepaskan gol dalam tempoh kurang lima minit sejak Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India pada Januari lalu.

Belanda ledak dua gol ke atas Malaysia dalam tempoh empat minit, Chile ambil masa tiga minit untuk kembali mendahului 2-1, manakala New Zealand jaringkan dua gol untuk ikat kedudukan 2-2 untuk tempoh kurang seminit.

Situasi sama berlaku apabila Sepanyol mengambil masa seminit untuk mendahului 2-1 sebelum Malaysia tewas 3-4 melalui penalti shoot-out, sekali gus terlepas peluang ke suku akhir Piala Dunia 2023.

Speedy Tigers pastinya tidak rela ‘kisah hitam’ berulang buat kali kedua di pentas Sukan Asia seperti final Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang menyaksikan kekalahan kepada Jepun.

Ketika itu, Jepun meledak tiga gol dalam tempoh enam minit untuk menyamakan kedudukan 5-5 tetapi Malaysia kembali mendahului 6-5 sebelum lawan sekali lagi mengikat 6-6 dalam tempoh seminit terakhir permainan.

Akhirnya, skuad negara tewas 1-3 menerusi penalti shoot-out dan terlepas slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan kemarau itu berte­rusan sejak kali terakhir beraksi pada edisi Olimpik Sydney 2000.

Kapten Speedy Tigers, Muhammad Marhan Mohd. Jalil sudah mengenal pasti faktor utama gawang mereka dibolosi dalam tempoh singkat kerana kekura­ngan pemain gara-gara layangan kad tidak sepatutnya.

“Kami kurang pemain di atas padang sebab kena kad, jadi taktikal bertahan kami terpaksa berubah. Ia membuatkan kami tidak mempunyai kesampaian untuk membina permainan atau menyaingi pasukan lawan.

“Kami tak dapat pegang bola lebih lama dan terpaksa banyak berlari menahan tekanan pasukan lawan melakukan full swing ke atas kami. Sekarang kami sudah tahu apa perlu dilakukan,” katanya.

Di Hangzhou bulan depan, Speedy Tigers diramal tiada masalah menerajui carta Kumpulan B yang terdiri daripada Korea Selatan, China, Oman dan Thailand sebelum bertemu Jepun di separuh akhir dan akhir sekali India di final.

Ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj melaungkan keyakinan anak-anak buahnya akan menewaskan India jika bertemu sekali lagi di Sukan Asia bulan depan, sekali gus menebus kekecewaan tewas di final ACT 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN