PETALING JAYA – Lelaki berusia 37 tahun yang didakwa menganggu jurugambar wanita selama lapan tahun akan menjadi individu pertama bakal dituduh dibawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan.
Di bawah Seksyen 507A baharu, sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.
Mana-mana individu yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, proses mendaftarkan pertuduhan sedang dilakukan di Mahkamah Shah Alam.
“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang mana pertama kali diguna pakai.
“Kemungkinan akan dibawa ke mahkamah Shah Alam esok atau lusa untuk dituduh,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, lelaki yang didakwa mengganggu jurugambar wanita seperti yang tular sebelum ini ditahan di wad di bawah Jabatan Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.
Hasil siasatan mendapati, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang menetap di Shah Alam itu sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa.
Dia turut memberikan komen-komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada mangsa.
Dalam pada itu, Acacia Diana sebelum ini menarik perhatian netizen apabila mendedahkan nasib dirinya yang hidup dalam ketakutan selama lapan tahun gara-gara diganggu seorang lelaki di media sosial.
Pendedahan itu juga menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menggesa Acacia untuk menyerahkan bukti termasuk laporan polis dan tangkap layar ke e-mel rasmi kerajaan untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE
















