KULAI – Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 edisi ke-23 melabuhkan tirai hari ini setelah rombongan keluarga Diraja Johor usai menjelajah ke-10 daerah di negeri ini.
Kompleks Penghulu Mukim Sedenak di sini menjadi lokasi terakhir persinggahan konvoi KMJ setelah berlepas dari Taman Rekreasi Rambah, Pontian dengan melakukan perjalanan sejauh 82 kilometer (km)
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam serta paduka dan puteri baginda tiba di lokasi persinggahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Berangkat sama ialah Tunku Panglima Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar; Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suaminya, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Sejurus tiba, Tunku Ismail dan Khaleeda berangkat ke Teratak Wak Salam untuk bertemu serta menziarahi penduduk Kampung Air Manis di sini.

Seorang pejuang kanser, Mohd. Isa Isuwandi, 51, menzahirkan rasa terharu apabila menerima kunjungan Che Puan Besar Khaleeda ke rumah keluarganya.
“Kunjungan isteri Tunku Ismail, Che Puan Besar Khaleeda menziarahi kami sekeluarga. Kembara Mahkota Johor yang diilhamkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika menjadi Tunku Mahkota Johor ternyata merupakan cara keluarga Diraja Johor mencemar duli turun bertemu rakyat jelata, mereka letak tepi soal protokal yang ketat.
“Dengan adanya KMJ ini, membawa seribu rahmat yang mana penduduk kampung dapat berjumpa, lihat secara dekat keluarga Diraja Johor.
“Dalam pada itu, kunjungan mereka sudah tentu ada pengisiannya, macam saya yang kini sedang berjuang penyakit kanser sedikit sebanyak menerima berkatnya,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Isa yang bekerja sebagai petani disahkan menghidap kanser hidung pada Oktober tahun lalu kini tidak mampu membuat kerja keras.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia mula mengesan sakitnya itu ketika dia batuk dan keluar kahak berdarah selain hidung sering berdarah.
Dalam pada itu, seorang ibu tunggal, Azizah Kasa, 77, turut teruja dan terkejut apabila terpilih menjadi keluarga dikunjungi Tunku Ismail dan paduka anakandanya.
“Memang saya tidak sangka dapat berjumpa dengan keluarga Diraja Johor, sebelum ini tidak pernah berjumpa lebih-lebih lagi TMJ.
“Perasaan ini tidak dapat nak cakap macam mana, gementar pun ada,”katanya.
KMJ 2023 memulakan jelajah selama empat hari bermula pada Sabtu lepas dan berakhir semalam setelah merentasi perjalanan sejauh 879 km. – KOSMO! ONLINE














