fbpx
BAHANG PRN di enam negeri kian terasa menjelang hari pengundian pada Sabtu ini. – Gambar hiasan

‘Mood’ pengundi pada hari pengundian jadi penentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada 12 Ogos depan kian terasa kehangatannya.
Selepas penamaan calon pada Sabtu lalu, maka bermulalah tempoh berkempen selama dua minggu sebelum tarikh pengundian 12 Ogos ini. Enam negeri tersebut adalah Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.
PRN kali ini juga menyaksikan nama-nama besar bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing antaranya adalah bekas menteri, bekas menteri besar dan penyandang jawatan menteri di Persekutuan.
Bagi mengulas lanjut mengenai ‘perang’ pilihan raya yang bakal berlangsung Sabtu depan, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Bahang PRN di enam negeri kian terasa selepas penamaan calon minggu lalu. Bagaimanakah Prof. melihat suhu politik tanah air ketika ini?
KARTINI: Sebelum penamaan calon lagi pesta politik telah bermula melalui pelbagai platform media sosial yang merakamkan pelbagai aksi, reaksi dan kritikan kepada pemimpin atau kepimpinan.

Selepas penamaan calon, tempoh masa yang diberi sehingga tarikh mengundi 12 Ogos depan menimbulkan tanda tanya sama ia cukup atau tidak untuk calon berkempen.

Tempoh ini perlu diguna semaksima mungkin untuk memperkenalkan calon, menyampaikan agenda parti, manifesto dan berusaha meyakinkan para pengundi.


Ketika ini, semua parti bertanding sedang giat melakukan aktiviti meraih undi. Dalam zaman serba canggih ini, platform manakah yang dilihat paling berkesan meraih undi?
Dalam dunia serba maju, moden dan berteknologi tinggi, platform yang paling berkesan mempromosi calon dan parti adalah media sosial. Mengikut susunan keutamaan pula adalah menerusi TikTok, Instagram, Facebook dan WhatsApp.

Kepantasan teknologi membolehkan tularnya video, info dan kempen mengenai calon atau parti sama ada bersifat mengata nista serta membalas hujah, semuanya dilakukan dengan satu klik.

Hiburan ringkas dengan maklumat padat dan kompak menjadikan era ‘Tiktokization’ berkesan menarik minat pengundi untuk memilih secara rasional calon dan parti.


Pengundi muda merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah pemilih pada PRN kali ini. Bagaimanakah Prof. melihat pengaruh golongan ini dalam mencorakkan politik tanah air?
Kebenaran mengundi kepada pemilih berusia 18 tahun pada PRU15 memperlihatkan fenomena ‘sendu’ yang menafikan undi 18 sebagai kuasa ketiga.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kelesuan ini iaitu pengundi belum bersedia kerana ia adalah pengalaman pertama, kurang motivasi kerana sukar membuat keputusan memilih, kurang peka tentang tanggungjawab dan hak berpartisipasi.

Namun kali ini, PRN di enam negeri menunjukkan kesungguhan pengundi muda yang tampil dengan pelbagai kreativiti ekspresi menerusi TikTok dan media sosial mengenai pendirian serta sokongan politik mereka. Ini adalah suatu perkembangan literasi politik yang amat menggalakkan.

Ramai penganalisis yakin bahawa peratus keluar mengundi bagi PRN di enam negeri akan menunjukkan peningkatan amat menggalakkan.

Pendedahan dan usaha literasi politik kerap dijalankan di institusi dan komuniti bagi membuka mata orang muda supaya sedar daripada leka dengan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Golongan muda sangat prihatin tentang masa depan, maka agenda calon dan parti perlu menjurus kepada hala tuju peluang pekerjaan, bantuan pendidikan, peluang sambung belajar, bayaran balik pinjaman pendidikan, bidang kerjaya baharu sesuai dengan IoT (internet of things). Ini adalah sebahagian daripada beberapa perkara yang seirama dengan keinginan orang muda.


Bagi menarik sokongan pengundi muda, beberapa parti politik memperkenalkan tokoh-tokoh popular dalam kalangan belia, misalnya Altimet, Baddrol Bakhtiar dan Prof. Haim Hilman. Pada pendapat Prof. adakah ia satu strategi yang tepat?
Strategi mengambil tokoh popular atau selebriti menjadi ahli politik, bukan sesuatu yang asing.

Di Amerika Syarikat, Ronald Reagan adalah pelakon Hollywood yang dipilih sebagai Presiden, pelakon Arnold Schwarzenegger pula sebagai Gabenor California.

Sementelah di Malaysia, cendekiawan, tokoh sukan, dan budayawan boleh saja dicalonkan oleh parti politik. Sebelumnya, ada mantan Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad merupakan pensyarah.

Sementara itu, penyanyi Altimet bukanlah selebriti pertama yang menjadi calon parti yang bertanding, sebelumnya telah ada Aishah, Herman Tino, Dayangku Intan, Azwan Ali dan Datuk Dira Abu Zahar (DUN Rim, Johor).

Strategi meletakkan tokoh popular sebagai calon, ia tidak melanggar undang-undang. Hakikatnya, susuk personaliti yang dikenali memudahkan pengundi untuk tidak lagi tercari-cari siapa calon wakil kawasan mereka.

Bagi tokoh sukan, peminat membolehkan calon ini ada penyokong yang akan mengundi mereka. Lebih menguntungkan jika tokoh tersebut terkenal dan dipuja atas kelebihan semula jadi mereka.

 

Kartini memaklumkan, para penganalisis menjangkakan jumlah keluar mengundi pada PRN kali ini akan menunjukkan peningkatan menggalakkan.

Selain tokoh muda, kita dapati calon PRN kali ini juga terdiri daripada muka-muka lama. Mereka yang kalah pada PRU 15 lalu turut diberi peluang. Bagaimanakah peluang mereka pada PRN nanti?
Tindakan parti politik mengekalkan muka-muka lama sebagai calon mungkin disebabkan oleh pengalaman dan pengetahuan ‘otai’ yang memahami selok belok tadbir urus.

Mereka menjadi aset penting jaringan kerjasama antara negeri dan Kerajaan Persekutuan kerana telah dikenali atau pernah bekerja di bawah satu bumbung.

Bagi sentimen PRN kali ini, percaturan meletakkan Datuk Seri Mahdzir Khalid (DUN Pedu) dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (DUN Bertam), walaupun mereka berpengalaman, namun gelombang hijau mencipta hambatan untuk mereka menang. Silap ‘berkayuh’ mereka bakal karam di lautan.

Ramai mengandaikan keputusan PRN kali ini akan seri 3-3. Mampukah PN atau gabungan PH-BN melakukan kejutan di negeri-negeri tertentu?
Beberapa ramalan melihat keputusan PRN di enam negeri sama ada 3-3 atau 4-2. Ia sangat bergantung kepada ‘mood’ pengundi pada hari mengundi.

Ia sukar ditebak kerana Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai persaingan sengit.

Mana-mana parti politik yang berjaya datang dengan kejutan, memungkinkan kemenangan berada di pihak mereka.

Pada pendapat Prof., mampukah keputusan PRN ini mengancam kedudukan di Putrajaya dan mengubah dasar-dasar parti tertentu terutamanya UMNO?
Semua maklum bahawa keputusan PRN negeri akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan negeri dan tidak mengoyahkan kerajaan Pusat.

Cuma agak menarik kalau melihat teori ‘the ripley effect’ iaitu gelombang yang memberi impak perubahan secara tidak langsung.
Impak keputusan PRN di enam negeri boleh membawa desakan perubahan kepimpinan kerajaan.

Pertama, penarikan mana-mana parti atau gabungan Sabah dan Sarawak daripada menjadi sekutu Kerajaan Perpaduan.

Kedua, hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Dua senario ini membolehkan tumbangnya kerajaan Pusat dan diganti oleh kepimpinan permuafakatan lain. Jika tiada kedua-duanya, maka Kerajaan Perpaduan boleh kekal ‘status-quo’ sebagai kerajaan sehinggalah PRU16.


Pada PRN kali ini, kita dapati figura paling mendapat perhatian adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Bagaimanakah Prof. melihat peranan susuk berkenaan pada PRN kali ini?
Personaliti dan persona Sanusi yang akan bertanding di DUN Jeneri ini sangat digemari oleh orang ramai kerana sikapnya terbuka, cakapnya bersahaja, dialek Kedahnya pekat dengan nuansa.

Beliau juga berani kerana fakta, gurauannya tak kering gusi dan semangat atletik yang ditunjukkan dengan bermain bola sepak, takraw dan timbang bola cukup untuk menarik pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kempen terbuka yang dihadiri oleh ratusan ribu rakyat memberi gambaran seolah-olah Sanusi adalah pahlawan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat bagi membela bangsa, agama dan negara.

Bagaimana Prof. melihat corak pengundian pengundi mengikut etnik pada PRN ini?
Asas politik Malaysia ialah etnisiti. Sekuat mana pun berhujah mahu melihat politik Malaysia tidak lagi terikat dengan politik identiti, ia adalah mustahil.

Ini kerana sejarah kolonial telah mewariskan biografi masyarakat Malaysia yang pelbagai etnik dengan komposisi bukan Melayu adalah signifikan.

Walaupun bukan Melayu adalah etnik minoriti dari segi populasi, tetapi mereka adalah majoriti dari sudut penguasaan ekonomi dan pemilikan kekayaan.

Menjaga kepentingan komuniti pelbagai kaum ini sering disalah erti sebagai perkauman, sedangkan ada perbezaan besar antara racial interest dan racism.

Justeru, apa-apa perkara yang melibatkan kepentingan kaum, agama dan budaya sentiasa mendapat perhatian.

Bezanya di Malaysia, walaupun kita pelbagai kaum, berbeza agama dan budaya, namun semangat kesepaduan dan penyatupaduan sentiasa diraikan.

Masing-masing melihat kebergantungan bersama untuk mentadbir demi kesejahteraan Malaysia.

Prof. pernah bercakap mengenai semangat kenegerian antara sebab ramai akan turun mengundi. Boleh Prof. huraikan atau perincikan sedikit bagaimana ia mempengaruhi pengundian?
Oleh kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan dengan sembilan Raja-Raja Melayu mengambil giliran menjadi Yang Dipertuan Agong, setiap negeri mempunyai semangat kenegerian unik dan tersendiri.

Sebab itu adanya julukan Bangsa Johor, Anak Negeri Kelantan, Anak Negeri Kedah dan sebagainya.

Misalnya, semangat anak Kedah jelas terpancar dalam media sosial menerusi sokongan berupa simbol, perbuatan dan tingkah laku yang secara tidak langsung merancakkan PRN dengan lagu dialek negeri, hiasan pada kenderaan serta sepanduk.

Saya yakin semangat kenegerian dan Islam sebagai sumber penyatuan akan mendorong orang ramai turun mengundi sebagai lambang referendum mahukan perubahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN