LONDON – Pemain tengah Arsenal, Nicolas Pepe mendedahkan bahawa dia memerlukan minit perlawanan yang lebih untuk memastikan dia gembira.
Pemain berusia 25 tahun itu gagal konsisten untuk berada dalam kesebelasan utama The Gunners sejak menyertai kelab itu dari Lille pada 2019.
Musim ini menyaksikan Pepe hanya sekali muncul dalam kesebelasan utama skuad kendalian Mikel Arteta dan selebihnya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, dia beraksi dalam semua lima perlawanan Liga Europa dan Piala Liga Inggeris, namun mengintai peluang untuk lebih kerap diturunkan dalam aksi liga sebagai pemain utama.
“Sasaran saya adalah untuk bermain lebih kerap. Pemain yang sentiasa diturunkan, pasti akan rasa gembira. Saya mungkin akan tersenyum sekiranya mendapat peluang sebegitu.
“Beliau (Arteta) mahu saya memberikan fokus sepanjang 90 minit perlawanan tetapi pada sesi latihan terakhir sebelum perlawanan, saya hanya diletakkan sebagai pemain gantian.
“Beliau mahu saya memainkan peranan sebagai super-sub. Sekarang ini semuanya bergantung kepada saya sama ada mampu untuk menunaikan tanggungjawab itu,” ujarnya.
Arsenal memulakan saingan musim ini agak goyah menyebabkan Arteta mungkin akan membuat pertimbangan untuk meletakkan Pepe dalam kesebelasan utamanya selepas ini.
Pepe berjaya menyumbang sekurang-kurangnya satu gol dan umpanan jaringan setiap kali diturunkan dalam saingan Liga Europa setakat ini dan meledak satu gol pada aksi liga. – AGENSI














