fbpx
ANNA JOBLING dan Meerqeen.

Anna Jobling, Meerqeen nafi berseteru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA angin, tiada ribut tiba-tiba tercetus khabar angin yang mendakwa pasangan serasi Anna Jobling dan Meerqeen kini dalam fasa perang dingin.

Mana mungkin dua figura popular yang sedang berada di papan atas itu berseteru, tambahan pula sebelum ini pernah digosip punya hubungan istimewa dek terlampau akrab.

Atau barangkali ada pihak luar sengaja mencipta sensasi tanpa alasan kukuh.

Ditanya mengenai desas-desus tersebut, Anna yang ditemui pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya minggu lalu hanya tersenyum.

Kata penerima trofi Aktres Drama Popular itu, persahabatannya dan aktor berusia 22 tahun terbabit baik-baik sahaja seperti sedia kala.

“Tak wujud konflik antara kami. Semuanya biasa sahaja. Macam malam ini, kami raikan peminat bersama-sama,” katanya yang tampak ceria.

Sementara Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam pula selesa mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut.

Anna dan Meerqeen menyifatkan dakwaan konon-kononnya mereka sedang dalam episod perang dingin sebagai gosip nakal daripada pihak tidak bertanggungjawab. – AMIR KHALID

Figura yang meraih gelaran Aktor Drama Popular itu lebih fokus kepada merakamkan penghargaan untuk peminat yang menyokong perjalanan  karier seninya sejak empat tahun lalu.

Pelakon yang turut berkongsi trofi  kategori Couple TV Popular bersama Anna mendedahkan sudah beberapa kali duduk di bangku finalis majlis pengiktirafan itu.

Bintang tinggi lampai terbabit menyifatkan kemaraan dalam kategori drama sebagai tanda kasih sayang peminat yang juga impak daripada drama Melur Untuk Firdaus.

Tidak hairan tambahnya naskhah yang mencetuskan fenomena di Asia Tenggara membolot kemenangan bagi Drama Popular pada anugerah sama.

“Boleh dikatakan setiap tahun saya berpeluang tercalon sejak keluar daripada pertandingan Hero Remaja yang kemudian melorongkan saya ke dunia lakonan.

“Begitupun, pengembaraan ini adalah satu perjalanan yang sangat mencabar,” katanya yang dicalonkan dalam tiga kategori bagi edisi tahun ini.

Kemenangan Meerqeen meranapkan harapan pesaing terdekatnya, Ben Amir untuk mempertahankan kedudukan yang diraih tahun lalu.

Kemenangan Meerqeen dalam ABP35 menewaskan Ben Amir, Aedy Ashraf, Kamal Adli dan Redza Rosli.

Selain Ben, aktor lain yang turut dipilih sebagai finalis bagi kategori sama ialah Aedy Ashraf, Kamal Adli serta Redza Rosli.

Sementara itu, Anna pula melengkapkan ‘hatrik’ selepas dinobatkan sebagai Aktres Drama Popular yang juga trofi ketiga dimenanginya pada malam tersebut termasuk kategori BBNU Wanita.

Pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, itu mengenepikan Siti Saleha, Puteri Sarah Liyana, Raysha Rizrose dan Sharifah Rose.

“Saya sebenarnya terkejut dengan kemenangan ini, tetapi ini adalah rezeki selepas fenomena Melur Untuk Firdaus, juga antara naskhah yang menaikkan nama saya.

“Memang terharu tengok kesungguhan peminat yang mengundi malah pada malam ini (Jumaat), ramai hadir bagi sokongan.

BETO percaya, kemenangannya sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular dalam ABP banyak dipengaruhi impak watak Wahid menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

“Ada yang sanggup menempah tiket kapal terbang untuk bersama-sama dengan saya, termasuk peminat dari Indonesia,” kongsi selebriti yang mencipta nama dalam pertandingan Dewi Remaja 2018/2019 itu.

Sebelum ini, aktres berdarah campuran British dan Melayu itu pernah membawa pulang trofi  kategori Pelakon Wanita Popular pada Tonton Anugerah Drama Sangat 2023.

Sementara itu, pemenang lain ABP35 iaitu Beto Kusyairi atau Nur Kusyairy Zakuan Osman yang meraih gelaran Aktor Filem Popular bersyukur menerima trofi tersebut biarpun mempunyai tidak sampai sejuta pengikut dalam Instagram.

Akuinya, selain Imaginur, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang meraih kutipan pecah panggung memberi impak besar dan pengiktirafan ini akan terus menguatkan semangat beri hasil terbaik.

“Saya ambil kemenangan ini untuk terus berikan yang terbaik dalam kerja lakonan ini kerana lakonan adalah cinta saya dan tolak tepi segala perkara lain,” katanya yang menewaskan bintang utama filem itu, Datuk Adi Putra.

KHAI BAHAR kembali merampas trofi Penyanyi Lelaki Popular tahun ini.

Bagi pemenang Penyanyi Lelaki Popular pula, Khai Bahar, trofi berkenaan ingin didedikasikan buat penyokong tegar  yang menjadi nadi kemaraan kariernya selama ini.

“Saya berbangga dengan peminat kerana ini semua adalah kerja keras dan sokongan mereka. Mereka yang memberi peluang kepada saya memenangi trofi ini,” ulasnya yang merampas semula trofi itu daripada Haqiem Rusli.

Selain Haqiem, Khai menewaskan tiga calon lain iaitu Amir Masdi, Hael Husaini dan Naqiu.

Sebelum ini, Khai mencipta kemanisan apabila memenangi kategori vokalis lelaki itu pada tiga edisi berturut-turut iaitu ABP30, ABP31 dan ABP32.

Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, pentas majlis diserikan persembahan artis Indonesia, Judika selain Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip, Datuk Yusni Hamid, Dayang Nurfaizah, Roslan Madun, Amelina, Baby Shima, Sufian Suhaimi dan kumpulan Margasatwa.

WAJAH-wajah pemenang trofi popular pada malam ABP35.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN