KUALA LUMPUR – Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang juga Calon Top 5 kategori Aktres TV Popular tiba di karpet merah dengan ditemani bekas ibu bapa mentua, Datin Patimah Ismail dan Datuk Yusof Haslam.
Yusof berkata, dia bersyukur apabila bekas menantunya duduk di kerusi finalis, namun enggan meletakkan sebarang harapan.
“Sebenarnya saya hadir untuk menemani isteri, sekali gus mengiringi menantu kami.
Tetapi kami tak meletakkan apa-apa harapan, sebaliknya sudah cukup bersyukur Puteri Sarah dicalonkan malam ini,” katanya ketika ditemui di karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35), malam ini.
Ini adalah kali pertama Puteri Sarah berjaya melangkah ke Top 5 bersaing dengan Anna Jobling, Sharifah Rose, Siti Saleha dan Raysha Rizrose menerusi kategori Aktres TV Popular, ABPBH 35.
Sementara itu, Puteri Sarah yang tampil ceria turut mengakui hanya berserah kepada takdir kerana kalah menang adat adalah adat bertanding.
Namun katanya, malam ini cukup bermakna kerana hadir ditemani dua insan penting dalam hidupnya.
“Saya datang dengan hati lapang kerana paling penting ditemani insan yang saya sayang selain membawa bersama restu peminat,” akui aktres berusia 38 tahun itu. – KOSMO! ONLINE






