fbpx
Lagu 'wajib' setiap kali Maal Hijrah itu turut didendangkan pada sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Kebangsaan kelmarin oleh penyanyi Jay Jay dan berapa artis lain. Lagu malar segar zaman berzaman ini dinyanyikan rakyat Malaysia setiap tahun tetapi pencipta karya hebat dan popular itu ibarat tidak dikenali umum.

Siapa pencipta lagu ‘legend’ 1 Muharam Detik Permulaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Rabu lalu, kita semua menyambut Maal Hijrah atau tahun baharu dalam kalendar Islam. Untuk kesekian kalinya, dalam hidup penulis sejak dari sekolah tadika sehinggalah pada tahun 2023 ini iaitu lebih 30 tahun, lagu yang satu itu tidak pernah gagal berkumandang.

Boleh dikatakan tidak kiralah sambutan peringkat apapun, dari peringkat kebangsaan, negeri, daerah, kariah, sekolah hinggalah ceruk mana pun, lagu itu adalah yang paling sinonim sampai dianggap lagu tema Maal Hijrah sepanjang zaman.

1 Muharam detik permulaan, perkiraan tahun Islam hijrah, perpindahan Nabi dan umat Islam, dari kota Mekah ke kota Madinah.

Hijrah itu pengorbanan, hijrah itu perjuangan, hijrah itu persaudaraan, hijrah membentuk perpaduan. Itu antara bait lirik nasyid malar segar yang mengesankan.

Penulis tiba-tiba berasa kagum dengan pencipta lagu ini. Bukan sahaja mempunyai melodi yang menangkap, susunan lagu yang menarik sehingga meniup semangat perjuangan, lirik yang mantap dan mempunyai aura segar.

Ramai antara kita pasti tahu lagu ini. Ada yang mengatakan mendengar lagu ini dari zaman kecil sehingga kini menjadi nenek. Bahkan, hasil melihat komen-komen di YouTube juga menunjukkan orang bukan Islam di Malaysia juga tahu lagu ini kerana membantu mereka mengingati subjek Sejarah.

Penghormatan selayaknya diberikan kepada penciptanya atas jasa menggubah karya masterpiece yang cukup hebat sehingga tidak mengenal zaman ini.

Lagu ini merupakan satu-satunya lagu Maal Hijrah yang didendang saban tahun. Kalau perayaan-perayaan lain biasanya ada macam-macam lagu yang dimainkan, tetapi untuk Maal Hijrah lagu ini ibarat tiada duanya.

Persoalannya ialah siapa sebenarnya komposer dan penulis lirik lagu ini? Penulis cuba mencari jawapannya tetapi ia seperti tidak didokumentasikan. Judul sebenar lagu ini pun tidak dapat dipastikan.

Hasil pencarian di internet juga tidak ada kepastian. Ramai juga rupanya tertanya-tanya siapa penciptanya. Kalau adapun dakwaan-dakwaan oleh pengguna internet, tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya.

Ada yang mendakwa lagu itu merupakan ciptaan seorang yang bernama ‘Encik Ramli’ yang merupakan pensyarah muzik Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit (MPKTBR) pada tahun 1987.

Ada pula yang mendakwa lagu itu dicipta di Sekolah Limpoon 1, Batu Pahat, Johor dalam satu pertandingan koir.

Penulis ada bertanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kalau-kalau mereka mempunyai jawapan, namun belum ada lagi jawapannya.

Biarpun ia boleh dianggap masih misteri, penulis rasakan pencipta lagu ini perlu diberikan penghormatan, diuar-uar, lebih didedahkan kepada umum, didokumentasikan dan dipapar kredit namanya apabila dipersembah dalam majlis rasmi sebagaimana lagu-lagu lain kerana ia juga pencapaian bukan calang-calang.

Siapakah gerangan dikau wahai hero yang tidak didendangkan?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN