fbpx

1,770 remaja bawah 20 tahun jadi ibu dalam tiga bulan, ramai tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Jumlah ibu muda yang berusia 20 tahun ke bawah direkodkan semakin meningkat dengan 1,770 orang dilaporkan sepanjang suku pertama tahun ini berbanding 1,422 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu dilihat sebagai situasi membimbangkan apabila terdapat ibu muda mengalami stres dalam membesarkan anak-anak serta berdepan tekanan kos sara hidup selain konflik dengan suami sehingga rumah tangga runtuh.

Ketua Jabatan Pembangunan Manusia, Pengajian Keluarga Universiti Putra Malaysia, Dr. Rojanah Kahar berkata, meskipun perkahwinan dibenarkan seawal usia 16 tahun bagi perempuan, namun kebanyakan mereka belum bersedia dalam kemahiran menguruskan keluarga.

“Selepas berkahwin memang­lah perlu bersedia untuk mempunyai anak, namun apabila kurang pengetahuan dalam bab penjagaan, ia boleh menjadi satu isu, seterusnya mencetuskan tekanan dan konflik rumah tangga.

“Kebanyakan ibu muda yang mengalami tekanan atau terbeban dengan tanggungjawab adalah mereka yang berkahwin dengan pasangan sebaya atau di peringkat umur yang sama.

“Mereka ini matang dalam keinginan, tetapi belum cukup dalam aspek merancang kewa­ngan dan keibubapaan, malah kebanyakannya masih tinggal bersama keluarga masing-ma­sing untuk mendapatkan soko­ngan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, peningkatan bilangan ibu dalam kalangan remaja juga dilihat mampu menjadi faktor penyumbang kenaikan kes perceraian negara.

konflik rumah tangga mudah tercetus apabila berlaku sesuatu masalah terutama melibatkan kewangan. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Ketua Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-kanak, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Rumaya Juhari berkata, pada usia belasan tahun, mereka sepatutnya menjalani fasa penghujung remaja dan pembentukan dewasa awal.

Katanya, menjadi ibu pada usia remaja menyebabkan mereka terlepas untuk menikmati fasa tersebut dan melangkau perkembangan hidup sekitar lima sehingga tujuh tahun.

“Pada usia belasan tahun sehingga 20-an, golongan ini seharusnya melalui proses atau kita­ran perkembangan dewasa awal seperti melanjutkan penga­jian atau bekerja,” ujarnya.

Dr. Rumaya

Menurutnya, akibat daripada itu, ibu muda sering berdepan dengan pelbagai cabaran psikososial termasuk bertambah­nya bebanan tanggungjawab, kedudukan kewangan tidak stabil, tiada sistem sokongan yang baik, kesan emosi terganggu, tiada kemahiran keibubapaan dan masalah komunikasi dalam hubungan perkahwinan.

“Kewangan sudah semestinya akan menjadi isu kerana pada usia sebegitu, mereka mungkin baru sahaja mencari kerja untuk membesarkan anak pertama.

“Dengan kos sara hidup me­niingkat, faktor kewangan menjadi antara cabaran yang kritikal bagi ibu atau pasangan muda terbabit.

“Membesarkan anak ini bukanlah tugas mudah, malah jika pasangan tidak bersedia, situa­si lain akan berlaku termasuklah pengabaian atau penderaan anak-anak akibat tekanan emosi yang dihadapi ibu bapa mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN