SIAPA tidak kenal perempuan penyondol dalam naskhah drama fenomena 7 Hari Mencintaiku. Hanya dengan satu watak kebencian umum, hayat karier Wafariena Roslan setakat ini, begitu sinonim dengan karakter hitam.
Kendati dua tahun sudah berlalu dengan sekian banyak peranan ‘putih’ dalam lebih 30 drama sepanjang tempoh lima tahun bergelar pelakon, keampuhan ‘Nurul Ain’ terbukti belum tergugat.
Di belakang tabir, si empunya diri bagaimanapun berharap dijauhi daripada terbabit dengan perhubungan tiga segi, apatah lagi didekati suami atau kekasih orang.
Pelakon berusia 28 tahun itu enggan menanggung kebodohan sendiri.
Bukan semata-mata untuk ketenangan sendiri, pendekatan sebegitu juga sesuatu yang harus dielakkan demi tidak merobek hati mana-mana pihak.
“Siapa kita untuk menolak takdir, tetapi jika kita boleh mengelak daripada terjebak dalam cinta tiga segi itu, kita elaklah kerana pilihan di tangan sendiri.
“Saya tak sanggup meremukkan hati wanita lain untuk kepentingan sendiri yang hakikatnya mungkin kita tidak sedar di mana kebahagiaan sebenar.
“Watak Nurul Ain itu pada masa sama memberi peringatan kepada saya serta golongan Hawa lain berwaspada dalam setiap tindakan,” katanya seraya mengakui masih solo.

Bertuah dijaga ibu
Mengakui dunia hiburan sarat ujian, anak keempat daripada tujuh bersaudara itu bersyukur pengalaman bonda tercinta dalam bidang penganjuran acara memberi kelebihan urusan kariernya tidak beralih ke tangan pihak lain.
Bukan hanya mengeratkan kasih ibu dan anak, bekerja dengan ahli keluarga sendiri setidak-tidaknya menjauhkan dirinya daripada niat jahat individu lain.
“Ibu umpama lembaga penapis kerana ada sahaja individu menghubungi nombor urusan kerja dengan niat sekadar mahu mencuba nasib atau berniat serong.
“Apabila diterangkan pengurus saya adalah emak sendiri, sudah tentu pihak terbabit tidak lagi mengacau,” katanya.
Pada masa sama pelakon yang mesra disapa Wafa itu turut mendedahkan ada pihak tidak senang dengan kelancaran perjalanan kerjaya yang diuruskan ibu sendiri.
Enggan menuduh sesiapa, Wafa cuma hairan apabila tercetus khabar angin kononnya dia mula ‘demand’, besar kepala serta memilih watak sedangkan sepanjang tempoh ini tiada sesiapa bersemuka bagi membincangkan persoalan sedemikian.

“Di set saya bercampur dengan semua orang, dari jurugegas, kru hingga pelakon lain tanpa mengira siapa.
“Malah apabila diajukan tawaran juga saya masih sama dengan melihat dulu jadual sedia ada, takut ada yang bertembung.
“Dalam bekerja, saya tak suka kayuh selagi boleh sebab enggan susahkan orang. Tentang bertanyakan penglibatan pelakon lain atau pengarah, itu perkara biasa.
“Rakan seindustri lain pun akan tanya pengurus produksi (PM) benda sama.
“Kalau itu pun dikata saya dan pengurus mula besar kepala, memang lucu sebab tak pernah lagi pihak produksi atau PM tegur saya tentang hal tersebut. Kiranya, gosip itu pertama kali saya dengar,” luahnya melepaskan pusar jiwa.
Enggan melayan tuduhan liar, pelakon yang pernah berdepan kemalangan ketika penggambaran sebuah drama akhir tahun lalu lebih teruja berkongsi harapan melonjakkan kariernya ke tahap lebih jauh.
Melihat keterampilan aktres dalam filem Fast & Furious sebagai contoh untuknya mencuba watak dalam filem atau drama aksi yang serba mencabar.
“Peranan lasak begitu yang saya maksudkan, kerana aksi tidak terhad kepada pertarungan, sebaliknya plot seperti dalam filem mega Fast & Furious dengan simbolik sifat juang yang tinggi,” tambahnya.
Pada masa sama, pelakon yang masih kental dengan aura ‘anak mami’ Pulau Pinang itu teringin meneroka potensi seberang terutama di Indonesia.
Malah sebagai persediaan membawakan watak aksi mahu pun membolosi peluang lain, Wafariena sedia berguru bagi memantapkan ilmu.

Belum masa bercinta
Menelusuri kisah peribadinya pula, sambil tersenyum figura yang ramah itu mendedahkan tidak pernah menutup pintu hati terhadap lelaki.
Cuma katanya, kesibukan dengan karier menyebabkan tumpuan kini lebih terarah terhadap kerja.
“Saya suka berkawan, tetapi barangkali kerana habis kerja terus balik atau menghabis masa dengan keluarga jika tiada penggambaran, potensi punya kekasih agak tipis,” tambahnya disusuli tawa.
Bagi yang tidak tahu, pelakon Kisah Seram Hostel itu hakikatnya mempunyai tabiat melatah yang mungkin membuatkan dirinya disalah erti.
“Dahulu saya suka usik orang latah, tak sangka, kebelakangan ini saya pula macam terjangkit sampai keluar perkataan kasar apabila melatah.
“Segan sebenarnya kerana bimbang ada yang tak selesa atau terkecil hati dengar latah saya, sebab itu saya selesa duduk rumah kalau ada masa lapang,” ujarnya.















