PETALING JAYA – Tahap kesuburan lelaki muda di negara ini semakin menurun apabila data menunjukkan sebanyak 60 peratus daripada mereka yang menjalani ujian kesuburan berisiko mengalami mandul.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada permasalahan melibatkan kaum adam itu antaranya merokok, kegemukan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat.
Pengurus Operasi dan Pembangunan Bisnes, Dunia Welness Laboratory Sdn. Bhd., Muhammad Noor Zakaria berkata, setiap bulan, pihaknya menerima lebih daripada 100 sampel air mani untuk dianalisis daripada lelaki yang belum dikurniakan anak.
Menurutnya, hasil penelitian pihaknya mendapati, untuk setiap 10 sampel yang dianalisis, enam daripadanya didapati abnormal disebabkan kandungan sperma yang rendah.
“Keadaan itu akan mengurangkan kemungkinan untuk berlakunya persenyawaan terutama bagi pasangan yang sedang berikhtiar mendapatkan zuriat.
“Sperma yang rendah ini berlaku disebabkan masalah pergerakan yang perlahan selain jumlahnya kurang daripada 50 peratus berbanding yang aktif,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Muhammad Noor, air mani yang sihat perlu mengandungi sekurang-kurangnya 30 peratus spermatozoa yang mempunyai rupa bentuk yang normal kerana bentuk dan juga saiz adalah penting dalam proses persenyawaan.
Data itu sekali gus menyokong dapatan bahawa empat daripada 10 lelaki di Malaysia mempunyai tahap kesuburan yang baik, manakala enam daripada mereka berisiko mandul sebelum ini.
Berdasarkan ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia 2022, didapati sebanyak 60 peratus daripada sperma tersebut menunjukkan keputusan abnormal.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu turut dilaporkan berkata, masalah kesuburan lelaki di negara ini berada pada tahap membimbangkan dan ia sekali gus menyumbang kepada trend penurunan kadar kelahiran di negara ini sejak 40 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Noor memberitahu, berdasarkan penelitian yang dibuat pihaknya, rata-rata mereka yang berdepan masalah kesuburan lelaki berusia 25 hingga 35 tahun.
Oleh itu, jelasnya, sudah tiba masanya masyarakat lebih terbuka dengan tidak menyalahkan golongan wanita semata-mata sekiranya tidak atau lambat mendapat zuriat selepas berkahwin.
Jelas Muhammad Noor, masalah kesuburan yang berlaku dalam kalangan suami atas beberapa faktor seperti merokok, kegemukan, amalan gaya hidup yang kurang sihat, pengambilan dadah atau ubat-ubatan tertentu serta ketagihan onani.
Sehubungan itu, beliau menasihati para suami untuk segera melakukan ujian bagi menganalisis sperma di hospital atau klinik swasta apabila gagal memiliki anak selepas setahun mendirikan rumah tangga.
“Jangan malu, kalau sudah setahun bernikah, tetapi belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata, segera lakukan ujian. Kosnya tidak sampai RM100.
“Kenapa saya nasihat orang lelaki yang datang dahulu (menjalani pemeriksaan), sebab prosesnya lebih mudah berbanding untuk mengetahui tahap kesuburan si isteri.
“Jika di pihak suami tiada masalah, kita boleh fokus ujian kesuburan untuk isteri pula, untuk wanita kosnya memang lebih tinggi. Jadi, kalau di peringkat awal kita boleh kesan masalah, jadi lebih mudah untuk diatasi,” sarannya.
Tambah beliau, tahap kesedaran kaum lelaki kini dilihat tinggi berbanding pada tahun-tahun sebelumnya apabila golongan tersebut lebih berani datang ke makmal untuk menjalani ujian kesuburan.
“Langkah ini wajar dipuji kerana mereka tidak menuding jari kepada si isteri semata-mata apabila gagal memeroleh anak selepas mendirikan rumah tangga,” ujarnya.














