fbpx

Tiada had pembangunan di 9 bandar diraja – Kor Ming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming melihat pameran Perancangan dan Pembangunan Bandar Diraja di Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan bahawa Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja tidak akan menghadkan pembangunan, di sembilan bandar diraja.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, selepas ia dikuatkuasakan kelak, segala pembangunan di bandar diraja itu akan lebih tersusun dan sesuai dengan kedudukan bandar itu dalam memelihara institusi dan identiti diraja.

Beliau berkata, garis panduan itu akan menyediakan perancangan dan pembangunan yang menampilkan ciri, keistimewaan dan keindahan institusi warisan negara.

“Garis panduan itu akan fokus kepada aspek seni bina bangunan, pemilihan warna, landskap, pemuliharaan warisan dan pasak bangunan selain dijadikan tumpuan dan aset pelancongan,” katanya pada sidang akhbar pelancaran garis panduan berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, garis panduan itu boleh digunakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merancang dan mengawal pembangunan di kawasan bandar diraja dengan tujuan memelihara imej dan identiti bandar diraja sebagai lambang kedaulatan negara.

Kor Ming berkata, GPP ini telah dibentangkan dan diluluskan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mei 2023 sebagai panduan pembangunan yang merangkumi aspek warisan, identiti, ekonomi, pelancongan.

Menurutnya, GPP ini juga akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-262 untuk mendapat perkenan sebelum diguna pakai dan dikuatkuasakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI