PETALING JAYA – Seorang penjual kereta terpakai memberitahu, kebiasaannya penjual kenderaan terpakai akan mengetahui sekiranya kereta yang dibeli mereka daripada pengguna pernah terlibat dalam kejadian banjir atau kemalangan.
Lelaki yang ingin dikenali sebagai Raja, 47, berkata, dia sendiri sememangnya tidak akan membeli kereta banjir atau yang mengalami kemalangan teruk kerana kenderaan tersebut akan bermasalah di kemudian hari.
“Kereta terpakai yang mudah rosak selepas dibaiki adalah kereta yang pernah ditenggelami banjir. Sebab itu kami tidak akan ambil kereta banjir,” katanya kepada Kosmo!.
Sehubungan itu, katanya, pengguna yang mahu membeli kereta terpakai perlu menyemak maklum balas pelanggan di laman sosial kedai terbabit bagi mengetahui respon pengguna.
Selain itu, katanya, pembeli boleh merujuk kereta terpakai itu kepada pakar sebelum menandatangani perjanjian pinjaman dan membeli kenderaan berkenaan.
“Pembeli juga boleh periksa nombor plat kenderaan untuk kesan kes kemalangan kerana untuk membuat tuntutan insurans memerlukan laporan daripada pihak polis.
“Jika melakukan pembelian kenderaan melalui secara dalam talian, seeloknya carilah penjual yang jujur dan boleh dipercayai,” katanya.
Sementara itu, peguam Tetuan Nas Rahman & Co, Nas Rahman berkata, pembeli kereta terpakai yang termakan dengan janji-janji manis penjual kereta boleh tampil menegakkan keadilan hak mereka berikutan ia telah melanggar undang-undang.
“Tiada akta spesifik untuk kereta terpakai, namun mempunyai bentuk generik perlindungan pengguna yang dipanggil, Akta Perlindungan Pengguna 1999,” ujarnya.














