PETALING JAYA – Seorang ibu tidak menyangka panggilan daripada lelaki berbaju Melayu yang disangka kenalan rupa-rupanya scammer yang menggunakan helah sebagai penculik untuk mengaut keuntungan.
Mangsa, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, 49, berkata, dia mendapat panggilan daripada seorang lelaki pada Selasa lalu yang mendakwa anaknya diculik dan berada dalam jagaan mereka.
Walaupun cemas, ibu kepada tiga anak tetap meneruskan perbualan dengan lelaki tersebut.
“Sebelum jawab panggilan, saya lihat gambar profil lelaki segak berbaju melayu dan bersongkok, saya ingat mungkin kenalan.
“Selepas panggilan dijawab, saya dengar suara lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an. Kedengaran juga jeritan di belakangnya, dia tanya dengan tegas ‘awak Khalidah ke?’ Apabila dengar suara seperti menjerit, saya jadi panik.
“Tambahan pula dengar suara budak perempuan meraung dan menjerit di belakang selain bunyi orang pukul sesuatu. Lelaki itu cakap ‘anak kau ada dengan aku, pindahkan wang tebusan sekarang’.
“Waktu itu saya hampir pasti individu tersebut ialah scammer sebab anak-anak saya berada di sekolah, manakala seorang lagi di universiti. Jadi saya beritahu suspek saya masih bujang dan lelaki itu memutuskan panggilan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Tengku Khalidah, dia kemudian menghubungi guru sekolah bagi memastikan anak-anaknya dalam keadaan selamat.
Tinjauan di ruangan komen menerusi hantaran yang dikongsi Tengku Khalidah di Facebook mendapati lebih 20 individu lain menerima panggilan menggunakan modus operandi sama.
Tambah Tengku Khalidah, dia berasa trauma dengan kejadian itu kerana ia melibatkan nyawa anak-anaknya.
“Kita berada jauh dengan anak-anak waktu itu, tambahan pula scammer tahu butiran diri kita. Tidak boleh bayangkan kalau ada ibu bapa yang mudah panik, mungkin mereka boleh terperdaya walaupun panggilan dibuat cuma tiga minit.
“Sebelum ini, scammer rakam gambar anak-anak di sekolah dan ugut untuk mendapatkan wang tebusan, sekarang mereka lebih licik guna kaedah lain pula.
“Saya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat demi keselamatan anak-anak,” katanya.














