JOHOR BAHRU – Seorang wanita pada mulanya menyangka kecederaan dialami anaknya yang menjadi mangsa buli pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Kluang adalah disebabkan bermain ragbi.
Nor Azlena Ahmad Ngawam, 42, berkata, anaknya, Mohammad Farish Haiqal Mohd. Khalid, 14, mengalami kecederaan pada otot dada dan paru-paru remaja itu hampir bocor selepas dipukul sekumpulan pelajar tingkatan empat di asrama sekolah berkenaan.
“Pada mulanya, dia beritahu cedera akibat bermain ragbi, namun selepas didesak beberapa kali baru dia membuka mulut dan memberitahu telah dipukul pelajar senior.
“Saya berasa terkejut apabila mendapat tahu anak diberi cuti sakit selama lima hari dan pihak sekolah meminta saya datang mengambil anak,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Nor Azlena, kejadian tersebut terbongkar selepas ibu salah seorang mangsa buli itu memaklumkan anak wanita tersebut turut menjadi mangsa.
Nor Azlena kemudian mendesak anaknya untuk memberitahu perkara sebenar.
“Selepas anak saya menceritakan perkara sebenar, saya segera membawanya ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya.
Nor Azlena berkata, anaknya mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12 tengah malam sehingga pagi pada Oktober lalu.
“Dalam kejadian itu, anak saya memberitahu seramai lima pelajar tingkatan dua telah dipanggil secara bergilir-gilir ke bilik pelajar senior.
“Mereka kemudiannya ditutup dengan kain sebelum dibelasah termasuk dipukul,” katanya.
Kejadian tersebut berlaku di bilik asrama sekolah berkenaan dan puncanya adalah disebabkan salah faham antara mangsa dengan pelajar senior.
Dalam kejadian itu, mangsa bukan sahaja ditumbuk di perut dan badan malah mereka turut ditendang.
Pelajar senior itu juga turut menghempas mangsa ke atas lantai menyebabkan ada dalam kalangan mereka cedera.
Selepas kejadian itu, kesemua mangsa tidak memaklumkan kejadian sebenar kepada warden bertugas sebaliknya memberitahu mereka cedera akibat bermain ragbi.
Sementara itu, seorang lagi waris, Nor Azreen Shamsudin, 39, berkata, kejadian buli di sekolah itu dipercayai berlaku sejak awal tahun ini dan berlarutan sehingga kini.
Dalam pada itu, seorang lagi bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 49, berkata, kejadian buli tersebut dipercayai sudah menjadi ‘tradisi’ di sekolah berkenaan.
“Apabila budak junior baharu masuk, mereka akan dibuli seperti pukul dan terajang.
“Mereka (pelajar junior) kemudiannya akan balas dendam dengan membuli pula pelajar junior lain,” katanya yang mahukan penjelasan daripada pihak sekolah berhubung kejadian tersebut.
















