PETALING JAYA – I-Berhad menjangkakan jumlah pertambahan pelawat ke i-City bertambah kepada 17 juta orang menjelang bulan Disember ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Lim Kim Hong.
Beliau berkata, sejak mula taman tersebut mula beroperasi, i-City terus menikmati pertumbuhan yang sihat sehinggalah kini anak syarikat, DoubleTree Hilton i-City mula dibuka di situ sejak bulan Julai tahun lalu yang mana ia menawarkan ruang sehingga 1,700 meter persegi yang sesuai untuk aktiviti seperti mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran (MICE) dan acara tahunan.
Menurut beliau, sambutan daripada penyewa untuk projek Central Mall i-City dan i-City Finance Avenue turut menggalakkan pertumbuhan di situ.
“Kejayaan I-Berhad terletak pada sinergi antara pembangunan hartanahnya, pelaburan hartanah serta segmen riadah dan hospitaliti.
“Oleh itu, pada tahun lepas, kami telah memperuntukkan RM10 juta untuk menambah baik segmen riadah selain melaksanakan projek penambahbaikan yang akan dilaksanakan tahun ini.

“Terdapat juga penambahan taman tema tertutup Xcite seluas 4,654 meter persegi dan pusat pengalaman salji 5 dimensi di atas lightscapes yang sangat Instagrammable,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.
Selain itu, Kim Hong menjelaskan, sambutan daripada penyewa untuk projek Central Mall i-City dan i-City Finance Avenue turut menggalakkan pertumbuhan di situ.
“Perkembangan ini akan mewujudkan alasan yang baik untuk pengunjung daripada pelbagai destinasi termasuk dari luar negara untuk menghabiskan masa mereka di Ultrapolis ini.
“Selanjutnya, perkara ini akan memberi manfaat kepada komuniti perniagaan yang lain dalam i-City,” jelasnya.
Selain itu, kumpulan I-Berhad turut mengumumkan bahawa program Satu Shah Alam, Satu Destinasi akan bermula bulan Julai ini selama setahun.
Bagi menjayakan projek tersebut, Kumpulan menjemput komuniti sekitar i-City untuk mendapat manfaat daripada jejak kaki, ruang fizikal dan aplikasi super i-City yang kini telah dimuat turun oleh lebih 100,000 pengguna.
“Dengan mengambil kira amalan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami ingin memainkan peranan dan memartabatkan perusahaan budaya, ekonomi, sosial dan perusahaan mikro tempatan dengan menjemput mereka untuk bekerjasama dengan kami.
“Terdapat banyak ruang dalam alam fizikal dan maya yang mana kita boleh meneroka peluang untuk berkembang bersama dan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif di i-City untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang ke arah kemajuan sosio-ekonomi ibu kota Selangor, Shah Alam,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE














