GERIK – Pelajar tahfiz yang ditemui pasukan penyelamat setelah tiga hari hilang di Kampung Tawai di sini berkemungkinan bergantung dengan air paya berhampiran lokasi penemuannya untuk meneruskan hidup.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Azizan Aziz berkata, ini ekoran, ketika ditemui, mangsa, Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris, 17 dalam keadaan sedar walaupun lemah.
“Pihak kami tidak pasti sama ada dia (mangsa) makan atau minum sepanjang tempoh kehilangan tersebut.
“Walau bagaimanapun ketika ditemui, dia berada berdekatan dengan paya dan kawasan sekitarnya berair. Dia ditemui dalam keadaan sedar walaupun lemah.
“Dia dapat bertahan selama lebih 48 jam, yang mana dalam keadaan biasa seseorang individu tersebut akan ‘collapse’ (tidak sedarkan diri),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Azizan, ketika Muhammad Naufal ditemui, pihaknya bertanyakan beberapa soalan kepada remaja itu bagi mengetahui tahap kesihatannya.
Beliau memaklumkan remaja itu berjaya menjawab soalan tersebut sebelum mengucap dua kalimah syahadah setelah diminta berbuat demikian.
Pada masa sama, beliau tidak dapat menafikan atau mengiakan unsur mistik yang dikaitkan dengan kehilangan Muhammad Naufal seperti dilaporkan media sebelum ini.
Ini kerana, katanya, biarpun pencarian dilakukan di lokasi remaja tersebut ditemui sebelum ini, namun pasukan penyelamat tidak menemui apa-apa.
“Mungkin juga dia bergerak ke lokasi lain sewaktu pasukan penyelamat tiba di lokasi tersebut,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan seorang pelajar tahfiz yang menghafal 30 juzu al-Quran keluar dari rumahnya di Kampung Gerik di sini sejak Rabu lalu.
Mangsa ditemui dalam keadaan selamat, namun kelihatan lemah pada pukul 10.48 pagi tadi oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).
Mangsa ditemukan dua kilometer dari lokasi motosikalnya dijumpai. Operasi mencari dipecahkan kepada lapan kumpulan dan pencarian dimulakan dengan laungan azan semalam.
Seramai 94 anggota pelbagai agensi antaranya bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, PGA dan orang awam menyertai operasi SAR tersebut.
















