KISAH seram dan mistik yang didakwa berlaku di lebuh raya atau di jalan raya di seluruh negara kerap kali diceritakan oleh pelbagai pihak.
Bagi mereka yang tidak pernah mengalami situasi seram tersebut, kisah diceritakan mungkin dianggap sekadar sebuah cerita.
Namun bagi Farid (bukan nama sebenar), dia mempunyai sebab untuk mempercayai kisah mistik kerana pernah melalui sendiri pengalaman tersebut.
Bercerita mengenai kejadian menimpanya, dia yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu, kisah seram itu berlaku kira-kira lima tahun lalu ketika menjalankan tugas luar di Johor Bahru, Johor.
Dia yang kini berusia 40 tahun memberitahu, kejadian tersebut berlaku pada waktu malam ketika dia dan seorang rakan dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur selepas selesai tugas.
“Disebabkan urusan kerja tersebut perlu diselesaikan dalam masa satu hari, maka kami terpaksa bekerja lebih masa dan hanya siap pada pukul 10 malam.
“Oleh kerana sudah kelaparan, kami mengambil keputusan singgah di sebuah restoran untuk menjamu selera sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.
Cerita Farid lagi, mereka juga sempat singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat dan mandi bagi menyegarkan badan sebelum mula bertolak kira-kira pukul 12 tengah malam.
Jelasnya, kenderaan mereka melepasi Plaza Tol Skudai kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan ketika itu, rakannya mengambil giliran untuk memandu terlebih dahulu.
Disebabkan terlalu kepenatan, Farid terlelap sambil rakannya itu terus memandu dengan ditemani lagu yang berkumandang menerusi radio.
“Sampai di satu kawasan berbukit selepas susur keluar Yong Peng, rakan saya tiba-tiba membrek kenderaan dengan agak kuat hingga menyebabkan saya terjaga daripada tidur.
“Saya melihat mukanya agak pucat, saya menyangkakan dia berbuat demikian bagi mengelak daripada melanggar sesuatu.
“Dalam fikiran saya, mungkin dia juga kepenatan dan mengantuk hingga menyebabkan dia hampir melanggar kenderaan lain.
“Tetapi ketika itu, saya melihat menerusi cermin sisi tiada sebarang kenderaan berada berhampiran kami dan keadaan di situ juga agak gelap,” katanya.Jelas Farid lagi, lebih menghairankan apabila rakannya itu tiba-tiba memandu di lorong paling kiri pada kelajuan tidak melebihi 30 kilometer sejam.
Tambahnya, rakannya itu sangat dikenali sebagai pemandu yang kerap memandu laju terutama di lebuh raya.
Katanya, keadaan itu berlarutan dalam tempoh kira-kira 10 minit, sebelum rakannya kembali memandu pada kelajuan biasa selepas melepasi papan tanda susur keluar ke Pagoh.
“Sebaik tiba di kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, rakan saya memberhentikan kenderaan dan terus keluar menuju ke tandas tanpa bercakap walau sepatah.
“Saya yang kehairanan cuba mengikutinya ke tandas. Saya mengajaknya berehat sambil minum minuman panas bagi menghilangkan penat.
“Ketika itulah rakan saya menceritakan kejadian yang berlaku di lebuh raya sebelum itu,” katanya.
Jelas Farid, berdasarkan apa yang diceritakan, rakannya itu membrek dengan kuat selepas terkejut melihat satu lembaga menyerupai seorang wanita secara tiba-tiba berada di tempat duduk penumpang belakang.
Menurut cerita rakannya itu, muka lembaga berkenaan kelihatan sangat pucat sehingga kelihatan urat pada kulit wajahnya, selain rambut mengurai.
Kenderaan mereka bergerak perlahan bukanlah disebabkan dipandu secara perlahan.
Sebaliknya, kenderaan mereka perlahan kerana secara tiba-tiba terasa berat seolah-olah membawa satu beban besar.
“Kata rakan saya itu lagi, lembaga tersebut tiba-tiba hilang selepas kenderaan mereka melepasi susur keluar Pagoh. Ini menyebabkan kenderaan dapat dipandu seperti biasa selepas tidak lagi terasa berat.
“Walaupun bukan saya sendiri yang melihat wajah lembaga tersebut, tetapi saya mempercayai apa yang diceritakan oleh rakan saya.
“Ini kerana sebelum ini, saya juga pernah beberapa kali mendengar cerita mengenai kisah lembaga wanita yang menumpang kenderaan di sekitar kawasan berbukit di antara Yong Peng dan Pagoh,” jelasnya.
Selepas kejadian itu katanya, sekiranya perlu melalui laluan tersebut, dia akan cuba mengelak daripada memandu kenderaan pada waktu tengah malam supaya peristiwa serupa tidak menimpa dirinya.















