BENTONG – “Kami dapat tahi tetapi mereka dapat kemewahan,” bentak seorang penternak lembu yang kecewa apabila kes kecurian lembu semakin menjadi-jadi dekat daerah ini.
Rahman Kassim, 60, yang terlibat dalam penternakan lembu sejak 20 tahun lalu berkata, kes kecurian lembu menyebabkan dia kerugian sekali gus membuatkannya mempertimbangkan untuk menjual semua lembu.
“Tahun ini sahaja sudah 10 ekor lembu saya hilang dengan purata seekor sebulan, saya terpaksa tanggung rugi kerana kos penjagaan dan makanan lembu ini juga tinggi yang mana lembu saya diletakkan di kandang pada waktu malam.
“Akibat kecurian, sasaran untuk menjual 30 ekor lembu korban tahun ini tidak kesampaian yang mana saya hanya mampu jual 10 ekor lembu korban selepas ambil kira pelbagai faktor,” katanya yang mempunyai kira-kira 200 ekor lembu yang diternak di ladang sawit Sertik, dekat sini.
Katanya, kecurian yang berlaku tahun ini melibatkan enam ekor lembu jantan yang sesuai untuk korban dan empat lembu betina baka brahman yang besar.
Jelasnya, kecurian berlaku secara berperingkat bermula Januari lalu dengan sekurang-kurangnya dua ekor sekali hilang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pencuri pada waktu siang.
“Akibat kehilangan lembu itu, tiga ekor anak lembu saya sedikit terencat kerana tidak mendapat penyusuan yang baik.
“Pada Mei dan Jun ini tiada lembu saya yang hilang kerana kerap buat pemantauan, namun rakan-rakan penternak lain terus menjadi mangsa kecurian termasuk seekor lembu rakan saya hilang baru-baru ini,” katanya.
Seorang lagi penternak, Halim Ahmad, 57, berkata, kes kecurian lembu yang semakin kerap telah lama berlarutan sejak 2010 menyebabkan penternak berasa gusar dan sering berhadapan kerugian.
Dia memberitahu, kejadian kecurian ini berlaku hampir di semua kawasan ladang yang mempunyai penternakan lembu seperti di Sertik, Mempaga, Lakum dan Lebu, dekat sini.














