fbpx
PUTRI ARIANI

Buta mata, jiwa besar Putri Ariani goncang dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEKURANGAN pancaindera yang dimiliki gadis genit berusia 17 tahun itu tidak menjadi penghalang untuk dia terbang tinggi.

Malah, kekurangan itu sebenarnya menjadi kelebihan yang mungkin tiada pada orang lain.

Berbekalkan impian, pemilik nama lengkap Ariani Nisma Putri atau mesra disapa Putri Ariani itu tidak gentar menawan dunia dengan bakat yang dimilikinya.

Walaupun pandanganya gelap, penyanyi berstatus cacat penglihatan atau orang kelainan upaya (OKU) itu mempunyai lantunan vokal yang cukup indah.

Bukan itu sahaja, Putri Ariani turut memiliki bakat besar dalam bidang penulisan lagu, sekali gus membuktikan Tuhan itu adil ‘menggantikan’ kecacatan yang dimilikinya dengan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Minggu lalu, nama anak sulung kepada pasangan Ismawan Kurnianto dan Reni Alfianty itu tiba-tiba meledak di seluruh dunia ketika mengikuti uji bakat program terkenal, America’s Got Talent (AGT) musim ke-18.

 

Dalam uji bakat tersebut, dia telah meruntun jiwa juri dan juga penonton dengan persembahan mantap.

Bayi pramatang

Sehinggakan juri tetap program terbabit yang terkenal kerana mulutnya yang celoparnya, Simon Cowell upama dipukau selepas menyaksikan nyanyian Putri.

“Terima kasih Simon untuk momen yang paling hebat dan tidak mungkin dilupakan sepanjang kehidupan saya.

“Terima kasih kerana membuatkan impian saya menjadi nyata. Apa yang berlaku benar-benar umpama magis,” kata Putri Ariani sewaktu ‘dihadiahkan’ butang golden buzzer daripada Simon.

Mengimbas kembali awal kehidupan Putri semasa zaman kecil, dia disahkan buta sepenuhnya ketika berusia tiga bulan.

PUTRI berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir AGT musim kali ini menerusi pemberian golden buzzer oleh ketua juri, Simon Cowell.

Menurut ibunya, Reni, Putri dilahirkan secara pramatang ketika kandungannya baru mencecah usia enam bulan.

“Selepas dilahirkan, Putri dirawat selama tiga bulan di hospital sebelum dia disahkan mengalami katarak pada mata.

“Saya pernah membawanya menjalani rawatan ke Singapura kerana masalah retinopati pramatang, iaitu masalah pada bahagian mata, namun gagal,” ujarnya.

Sewaktu berusia dua tahun, Putri mula mempamerkan kelebihan dirinya apabila sudah pandai meniru suara nyanyian menggunakan deria pendengaran sahaja.

Kisah ‘Loneliness’

Tanpa mengikuti sebarang kelas vokal, bakat remaja itu semakin terserlah, seiring dengan peningkatan usianya apabila mula berani naik ke atas pentas untuk menyanyi sejak berusia tujuh tahun.

Pada 2014 ketika berusia sembilan tahun, dia memulakan kariernya dalam industri hiburan dengan menyertai pertandingan Indonesia’s Got Talent musim kedua dan muncul sebagai juara dengan membawakan lagu My Heart Will Go On semasa pertandingan akhir.

Selain berbakat dalam bidang nyanyian, pelajar sekolah menengah atas di SMK Negeri 2 Kasihan atau turut dikenali sebagai Sekolah Menengah Muzik Yogyakarta itu turut berbakat dalam bermain alat muzik, khususnya seruling dan piano.

Saat suaranya bergema di bumi Uncle Sam, Putri Ariani telah mendendangkan lagu berjudul Loneliness, yang digubahnya sendiri pada tahun 2021.

Putri Ariani cacat penglihatan sedari kecil namun ibu bapanya sangat memberi dorongan kepadanya berkecimpung dalam dunia muzik.

Sambil jari jemarinya ligat bersama dentingan piano, emosi yang dibawakan gadis manis itu membuatkan penonton berlinangan air mata.

Lagu Loneliness sendiri mempunyai kisah sedih buat diri Putri. Ujarnya, lagu tersebut ditulis saat dirinya berada pada titik paling bawah dalam hidupnya.

“Loneliness itu bermaksud boleh menerima kesalahan dan menerima diri sendiri. Sesuatu hal yang baik, belum tentu terbaik untuk diri kita.

“Jadi Loneliness itu ditulis sewaktu saya sempat berasa bersalah dengan diri sendiri. Saya rasa sangat sedih apabila ada pihak tidak mempercayai bakat saya. Mereka kata saya tidak boleh mencipta lagu.

“Saya mahu buktikan bahawa saya boleh lakukannya (cipta lagu),” ujar Putri.

Inspirasi

Menganggap muzik adalah sebahagian dalam hidupnya, pemenang Anugerah Baiduri sebagai penyanyi cilik berprestasi peringkat kebangsaan itu mahu bercerita melalui lagu bagi mewakili isi hatinya.

Maka terhasillah Loneliness.

Ketika kakinya berada di pentas AGT, dia turut berharap dapat memberi inspirasi kepada anak muda yang lain.

“Saya mahu agar anak-anak muda seperti saya tidak takut bermimpi dan meraihnya.

“Percayalah, mimpi akan menjadi nyata jika didatangkan bersama dengan usaha,” ujarnya bercita-cita mahu melanjutkan pengajian di institusi seni berprestij, The Juilliard School, New York, Amerika Syarikat suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN