fbpx
Anggota perhutanan mengawal kawasan hutan yang diceroboh di Pahang.

‘Tebang saja hutan, tanam pula durian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR tahun 90-an, seorang kanak-kanak lelaki serta beberapa adik-beradiknya ralit menggemburkan tanah dengan cangkul. Tanah berketul-ketul ‘dilerai-leraikan’ sebelum dimasukkan ke dalam polibeg hitam.

Selesai proses itu biji durian mula disemai di dalam bekas berasingan. Benih yang mula bercambah selepas empat atau lima hari kemudiannya dipindahkan ke dalam polibeg.

Selang beberapa bulan anak pokok durian itu membesar sehingga paras paha dewasa akan datang pembeli-pembeli. Ketika itu setiap anak pokok mungkin dijual antara RM1 sehingga RM2 mengikut jenis durian yang ditanam. Jika durian kahwin harganya lebih mahal sedikit.

Anak pokok yang tidak dibeli pula akan ditanam di tanah-tanah sekeliling rumah. Rumah orang kampung selalunya sepelaung. Ada tapak rumah, dikelilingi tanah pertanian luas kira-kira dua ekar atau 0.81 hektar.

Dan rumah jiran-jiran pula di bidang tanah yang lain. Sepelaung jugalah jaraknya antara rumah jiran yang lain. Jadi tanah ini dimanfaatkan dengan pokok-pokok buah manggis, langsat, dokong, koko, petai, jering dan banyak lagi tanaman bermusim dan tidak bermusim.

Sempadan tanah pertanian ini pula jelas. Jika dahulu pada tahun 80-an dan 90-an penduduk yang mendapat ‘cabutan’ tanah paling pinggir akan mengeluh. Bukan apa, mereka berdepan masalah ancaman haiwan liar dan binatang buas.

Ada beberapa kejadian mereka ‘terserempak’ harimau belang dan beruang matahari ketika mengusahakan tanah. Bukan sahaja tidak cukup tanah berlari ketakutan, sampai di rumah badan pun dedar.

Demam terkejut pula sampai seminggu.

Seminggu lagi baru turun ke tanah pinggir. Kali ini berteman. Gantung tin-tin di atas pokok bertujuan menakutkan haiwan-haiwan itu.

Walaupun, kejadian ‘berselisih’ binatang buas itu sekali dalam dua tahun, ia merupakan berita besar di kampung tersebut. Diulang-ulang agar penduduk berhati-hati ketika mengusahakan tanah.

Kanak-kanak lelaki tadi pula usianya kini sudah hampir 40 tahun. Anak pokok durian yang disemai dahulu sudah berpuluh-puluh kali berbuah. Sudah boleh makan hasil, jika banyak dijual kepada peraih. Jika sedikit dimakan sendiri sahaja dengan keluarga.

Tanah hutan yang dahulu menjadi lokasi ngeri untuk dimasuki penduduk pun sudah habis ditarah, disulam benih musang king, udang merah, IOI dan durian premium lain.

Kanak-kanak itu yang sudah dewasa juga percaya tanah hutan itu tidak bergeran malah diceroboh. Di kawasan hulu kampungnya yang merupakan rizab hutan simpan turut bertukar jadi kebun musang king berpuluh-puluh hektar.

Sama permandangannya ketika kanak-kanak itu yang kini sudah dewasa melalui lebuh raya dari Plaza Tol Gombak sehingga susur keluar Plaza Tol Temerloh, di kiri kanan lebuh raya yang dahulunya hutan, bukit bukau nampak ‘merah bertanah’ bertukar kebun durian.

Tebang hutan tanam durian memang ‘untung’. Natijahnya kita ‘menjemput’ musibah perlahan-lahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN