GERAKAN tangkas penuh bertenaga serta bunyi bising daripada ketukan dua batang stick (kayu pemukul) berwarna hijau menjadikan senaman yang dipanggil pound itu cukup unik dan lain daripada yang lain.
Diasaskan pada tahun 2011 di Amerika Syarikat, senaman itu juga adalah merupakan satu sesi kardio yang diinspirasikan daripada gerakan penuh bertenaga saat bermain dram.
pound seterusnya menjadi satu bentuk senaman yang berkesan, bukan saja bagi kecergasan tubuh tetapi juga membantu menambah baik kesihatan mental.
Minat terhadap aktiviti itu telah mendorong seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hanis untuk menceburkan diri dalam sukan pound sehingga bergelar salah seorang jurulatih pound yang bertauliah di Malaysia.
Dia yang menubuhkan kelas #PoundWithHanis berkata, dirinya mula jatuh cinta dengan senaman tersebut pada tahun 2018.
“Saya mula meminati aktiviti pound ini sejak 2018, selepas saya melahirkan anak kedua.
“Ketika itu, timbul hasrat untuk mula melakukan satu senaman, namun saya tidak menjumpai apa-apa senaman yang menarik untuk dibuat,” katanya kepada K2.
Hanis kemudian terjumpa satu video tentang senaman pound di Instagram dan daripada situ timbul minat untuk mencuba aktiviti tersebut.
“Pada masa itu, aktiviti ini masih belum popular di Malaysia. Namun, disebabkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang senaman itu, saya mula mengikutinya dan mencari cara untuk menjadi jurulatih pound bertauliah di negara ini,” katanya.
Sama seperti aktiviti senaman baharu yang lain, Hanis mengakui dia bermula mengajar pound secara kecil-kecilan di studio-studio senaman sekitar Lembah Klang.
Namun, berkat kesungguhannya untuk menarik lebih ramai orang, khususnya wanita mencuba aktiviti terkini, Hanis kemudiannya menemui satu lokasi baharu yang lebih besar dan sesuai untuk aktiviti tersebut iaitu di Tamarind Square, Cyberjaya.
“Dalam masa setahun, komuniti #PoundWithHanis menjadi begitu besar, hingga mengumpulkan seramai 300 orang peserta pada satu sesi,” ujarnya.
Hanis kini boleh berbangga apabila mampu mengadakan kelas secara konsisten dengan kekerapan dua kali seminggu, selain turut menjadi jurulatih pound pada acara-acara lain seperti camping dan sebagainya.
Malah, dia yang kini sudah mengumpul lebih 15,000 pengikut di Instagramnya itu turut menjadi inspirasi kepada jurulatih-jurulatih pound yang lain.
Ditanya tentang manfaat pound, Hanis yang merupakan seorang usahawan berkata, ia mampu mengurangkan tekanan yang dihadapinya.
“Secara peribadi, pound membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi saya yang ketika itu agak tertekan dalam menguruskan keluarga.
“Selain itu, saya juga menerima banyak maklum balas positif daripada peserta lain yang menganggap pound ini menarik dan dalam masa sama mudah dilakukan,” katanya.
Senaman pound dilakukan dengan menggunakan dua batang stick persis kayu dram yang dipanggil Ripstix.
Bezanya dengan kayu dram sebenar, Ripstix direka lebih ringan, khusus untuk digunakan semasa pound.
Peserta seterusnya akan mengikut alunan muzik yang dipasang dengan melakukan beberapa gerakan seperti squats dan lunges sambil batang Ripstix itu diketuk mengikut irama.

Bagi satu sesi yang berlangsung sekitar 45 minit, Hanis berkata, ia mampu membakar antara 400 sehingga 500 kalori.
Senaman pound yang dibuat dalam kumpulan juga menjadikan ia mampu berkembang menjadi satu komuniti dan ini menjadikan Hanis semakin bersemangat untuk meneruskannya.
Biarpun adakalanya berdepan cabaran dari sudut penerimaan orang ramai terhadap senaman itu, Hanis berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berputus asa.
“Kadangkala saya ada juga terasa penat memandangkan pound ini merupakan satu aktiviti baharu serta boleh dikatakan menjadi satu gelombang baharu yang mulai tular di media sosial dan memerlukan masa untuk diterima oleh orang ramai.
“Namun, saya tidak terfikir untuk berputus asa kerana bagi saya, masih ramai yang akan mendapat manfaat daripada senaman ini dan saya menganggap bahawa misi saya belum selesai dan perlu diteruskan,” katanya.
Kongsi Hanis lagi, ramai antara peserta pound yang sebelum ini tidak pernah bersenam, mulai jatuh cinta dengan senaman selepas mencuba satu sesi pound.
“Ramai sebenarnya yang sebelum ini tidak pernah bersenam atas pelbagai faktor. Namun, selepas mencuba satu sesi pound, mereka terus berminat untuk bersenam dan ini menjadikan saya cukup gembira,” katanya.
Melihat kepada kecerdasan berterusan yang ditonjolkan Hanis sepanjang sesi pound, ramai yang menganggap Hanis mengamalkan gaya pemakanan tertentu.
Begitu pun, Hanis berkata dia tidak mengamalkan diet tertentu untuk kekal bertenaga.
“Sebenarnya saya tidaklah mengamalkan diet tertentu bagi memastikan saya kekal cergas.
“Namun jika boleh saya kongsikan satu tip, saya sebenarnya kerap mengamalkan intermittent fasting kerana bagi saya, apabila saya berpuasa dalam tempoh tertentu, saya boleh mengatur waktu makan dengan lebih baik dan ia membantu saya kekal bertenaga sepanjang hari,” katanya.
Jelas Hanis, peserta yang berminat hanya perlu membawa sehelai tikar yoga dan satu botol air.
“Ripstix akan disediakan untuk setiap sesi pound dan peserta hanya perlu membawa tikar yoga mereka sendiri bersama satu botol air.
“Saya yakin ramai yang akan turut jatuh hati dengan senaman ini selepas mencubanya,” katanya.
Berkongsi pengalaman mencuba senaman pound, Siti Fareza, 26, berkata, senaman tersebut cukup menyeronokkan dan memberikan dia peluang untuk menambah rakan.
“Saya mendapat tahu tentang pound daripada seorang rakan yang pernah menyertai salah satu sesi yang dikendalikan Hanis.
“Biarpun pada awalnya ia agak sukar, namun selepas beberapa sesi saya sudah boleh mendapat rentaknya,” kata Siti.
















