SEBERANG PRAI – Hadis riwayat Muslim melalui sabda baginda Rasulullah SAW menyebut doa itu adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi.
Hal ini diakui usahawan produk telekung dan sarung lengan muslimah yang juga pemilik jenama Azirah Exclusive, Azirah Che Pa, 51.
Katanya, jika Allah SWT berkehendak ke atas mana-mana hamba-Nya, maka akan termakbullah sesuatu permintaan yang dihajati.
“Sebelum menjadi usahawan, saya terlibat dalam bidang pembelian di sebuah kilang dekat Perai selama 20 tahun.
“Saya mengambil keputusan untuk memohon Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan syarikat pada tahun 2012 kerana merasakan sudah tiba masanya saya meninggalkan dunia korporat dan ingin beralih ke satu bidang baharu,” katanya kepada Kosmo! di pejabatnya di Tasek Gelugor, di sini baru-baru ini.
Dia berkata, kehidupan baharu setelah berhenti kerja lebih banyak menguruskan rumahtangga di samping membesarkan tiga orang cahaya mata lelaki yang sedang meniti usia remaja.
“Ketika tidak bekerja, saya ada memikirkan mahu buat bisnes. Namun, saya tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran, apatah lagi untuk menjahit yang saya rasakan di luar kemampuan ketika itu.
“Bertitik tolak semasa mengerjakan umrah pada 2013 bersama suami, saya memanjat doa kepada Allah SWT agar dikurniakan satu kemahiran yang boleh menjana pendapatan kerana ingin membantu keluarga.

“Alhamdulillah, Allah SWT mengangkat doa dengan memberi keizinan-Nya untuk saya berkecimpung dalam dunia jahitan pada tahun 2013 sehinggalah sekarang,” katanya yang berlatar belakang pendidikan Diploma Eksekutif Pengurusan Logistik dan Strategi Rantaian Bekalan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut Azirah, ketika awal pembabitan dalam dunia perniagaan, dia banyak mengikuti kursus jahitan jangka pendek secara dalam talian selain mengikuti kursus kemahiran jahitan melalui agensi kerajaan antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kolej Komuniti Kepala Batas dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi meningkatkan kemahiran dalam asas jahitan.
“Pada awalnya kerja-kerja jahitan hanya dilakukan di rumah dengan menjahit tudung labuh untuk dipakai sendiri. Tak sangka, ada ahli keluarga berminat dengan tudung yang saya jahit seterusnya mendorong mereka membuat tempahan.
“Dipendekkan cerita, lama-kelamaan saya cuba untuk mempelbagaikan kemahiran dengan menjahit telekung, telekung mini dan sarung tangan sehinggalah mampu membuka sebuah pejabat di sini yang juga berperanan sebagai bengkel menjahit tahun lalu.
“Bagi memastikan ilmu perniagaan sentiasa berkembang, saya turut mengikuti kursus keusahawanan di bawah Mara, Kemas, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Zakat Pulau Pinang (ZPP), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan juga Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM),” katanya yang baharu sahaja dinobat sebagai Ikon Usahawan Pulau Pinang Kemas 2023, baru-baru ini.
Azirah yang mempunyai seramai dua pekerja berkata, berkat kesabaran serta perit jerih mengusahakan perniagaan akhirnya produk keluarannya mendapat sambutan memberangsangkan selain turut mempunyai pelanggan tetap.

“Jika sebelum ini kebanyakan telekung dan telekung mini dikeluarkan berdasarkan kepada jumlah tempahan, kini kami turut hasilkan telekung dan telekung mini yang siap untuk dipakai.
“Dalam sebulan kami akan hasilkan 100 pasang telekung, manakala telekung mini pula sebanyak 130 helai. Bagi sarung lengan pula kami keluarkan dalam 100 pasang. Harga pula masing-masing adalah RM149, RM110 dan RM15 yang didatangkan dengan beberapa jenis warna.
“Malah, kami juga ada menawarkan telekung ekonomi berharga RM90 sepasang,” tambahnya.
Ditanya mengenai cabaran sepanjang pembabitannya dalam dunia pernigaan, Azirah berkata, insiden yang tidak dapat dilupakan apabila pernah berdepan dengan pelanggan yang disifatkannya ‘tidak serius’ dalam urusan jual beli.
“Mungkin itu perkataan yang sesuai digunakan kerana pelanggan terbabit menempah beberapa helai tudung, namun apabila tiba hari untuk pembayaran, pelanggan tersebut mendiamkan diri sehingga sekarang. Saya beranggapan itu adalah rencah dalam dunia perniagaan.
“Sekurang-kurangnya insiden tersebut membuka mata saya untuk lebih berhati-hati dalam berdepan pelbagai jenis karakter pelanggan selain mengawal selia aliran kewangan yang keluar masuk bagi memastikan perniagaan tidak terjejas,” katanya.
Azirah menambah, selain keizinan-Nya dan sokongan keluarga, perniagaan yang diusahakan turut mendapat sokongan daripada agensi-agensi kerajaan terlibat yang menganugerahkan geran dan menyumbang peralatan jahitan seperti kit menjahit, mesin jahit, seterika wap dan lain-lain perkakasan bagi melancarkan operasi.
“Syukur sangat atas sokongan yang diberi kerana ia sedikit sebanyak mendorong saya untuk lebih maju dalam diri dan kehidupan selain ingin memberikan kepuasan terhadap pelanggan menerusi produk yang dihasilkan,” katanya lagi.














