PETALING JAYA – Bilangan penghuni di pusat jagaan warga emas di seluruh negara makin bertambah saban tahun sehingga terpaksa dihadkan bagi mengelak ia dijadikan ‘lubuk’ oleh anak-anak untuk meninggalkan ibu bapa yang sudah uzur.
Jika dilihat dari luar, keadaan di pusat jagaan tersebut tidak ubah seperti hospital dengan rata-rata penghuninya terlantar kerana menghidap penyakit kronik.
Rata-rata pengusaha memaklumkan mereka tidak putus-putus menerima panggilan telefon daripada orang ramai yang bertanyakan mengenai kekosongan tempat di pusat masing-masing.
Di Puchong, Selangor, Pengurus Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Muhammad Arif Abdullah Azman berkata, sejak ditubuhkan 28 tahun lalu, pihaknya menerima permintaan tinggi untuk menempatkan warga emas terutama yang sakit kronik sehingga ada yang terpaksa tidur di lantai sebelum ini.
“Ketika ini, daripada 45 penghuni, hanya tujuh orang yang boleh berjalan, namun ada yang nyanyuk. Yang lain semua terlantar atas katil kerana strok, kencing manis dan banyak lagi.
“Sudah menjadi rutin kami terima hampir 10 panggilan telefon sehari daripada orang ramai yang ingin memasukkan warga emas ke pusat jagaan ini, namun terpaksa ditolak kerana ruang sedia ada sudah sempit.
“Ada perancangan untuk membesarkan tempat ini, tetapi masalahnya tidak ada orang hendak bekerja di sini. Banyak yang perlu difikirkan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Muhammad Arif memberitahu, pelbagai alasan diberikan anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaannya antaranya kerana uzur, sakit kronik selain tiada waris.
“Terdapat kes seorang anak terpaksa bawa bapa ke sini sebab dia belajar jauh dan bapanya tak boleh tinggal sendirian, bapanya bersetuju jadi kita jaga,” katanya.
Tambahnya, kos menjaga seorang warga emas adalah sebanyak RM2,500 sebulan, namun dia bernasib baik kerana menerima sedikit bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Di Taiping, Perak, Pengerusi Pusat Jagaan Warga Tua KP, K. Punithavathi Kandiah memberitahu, pihaknya sentiasa menerima pertanyaan daripada orang ramai terutama waris berhubung perkhidmatan yang ditawarkan.
“Kebanyakan anak-anak bekerja, mereka tak mampu menjaga ibu bapa kerana komitmen kerja. Jadi mereka ambil keputusan hantar ke pusat jagaan atas faktor keselamatan,” katanya.
Jelasnya, tidak semua anak-anak meneruskan niat kerana ada yang yang tidak mampu membayar kos penjagaan sebanyak RM1,000 sebulan.
“Daripada lima atau enam orang yang bertanya, mungkin satu atau dua orang sahaja yang mampu bayar. Kami pernah jaga warga emas selama 16 tahun sebelum dia meninggal dunia.
Kebanyakan penghuni di sini berusia 60 hingga 80 tahun.
“Ada kes yang mana anak-anak mahu melancong, jadi mereka tinggalkan ibu bapa di pusat jagaan sekejap dan kemudian ambil semula,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua (Islam) Titian Abadi, Zurina Alias berkata, pihaknya menjaga 20 hingga 25 warga emas dan tidak akan menambah bilangannya kerana ruang yang terhad.
“Memang kami terima permintaan tiga orang seminggu, namun kena kawal,” katanya.
Di Kuala Selangor, Pengarah Pusat Jagaan Warga Tua Pertubuhan Sukarelawan Agensi Bantuan Selangor, Sharil Hussein mengakui pihaknya berdepan masalah kewangan sehingga menyebabkan bil tertunggak selama empat bulan dan mencecah RM13,000.
Keadaan itu menyebabkan pusat jagaan tersebut terpaksa menolak permintaan secara purata tujuh permohonan setiap bulan kerana bilangannya sudah penuh iaitu 45 orang.
“Rata-rata penghuni di sini yang berusia 50 hingga 75 tahun mempunyai penyakit seperti diabetes, angin ahmar, jantung dan kanser.
“Kebanyakan warga emas terlantar dan memakai lampin pakai buang. Mereka juga meminum susu formula selain kos perubatan lain dengan perbelanjaan mencecah RM70,000 sebulan,” katanya.
Pusat jagaan itu beroperasi sejak tahun 2020 dengan penghuninya datang dari seluruh Semenanjung. -KOSMO! ONLINE
















