fbpx

Detik penuh duka buat Dortmund

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DORTMUND terus kempunan untuk menjulang kejuaraan Bundesliga selepas sekadar terikat menentang Mainz sekali gus membolehkan Bayern memintas mereka. - AFP

DORTMUND – Impian Borussia Dortmund untuk menjulang kejuaraan Bundesliga buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka terikat 2-2 menentang Mainz kelmarin dalam perlawanan wajib menang.

Dortmund memiliki kelebihan dua mata sebelum perlawanan tersebut bermula dan kemenangan akan mengesahkan kejuaraan mereka, namun keputusan seri itu menyaksikan mereka berkongsi mata dengan Bayern dan terpaksa melepaskan kejuaraan kepada seteru utama berdasarkan perbezaan jaringan.

Turun dengan sokongan padu 81,000 penyokong sendiri di Signal Iduna Park, Dortmund sudah bersedia untuk meraikan pesta berkenaan selepas kali terakhir melakukan pada musim 2012, namun hasrat mereka itu sama sekali tidak kesampaian.

“Tahniah kepada Bayern kerana berjaya meraih kejuaraan. Musim ini adalah persaingan yang sangat ‘gila’ apabila kami merampas takhta selepas 34 perlawanan.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan analisis mengenai perlawanan ini. Perasaan (kecewa) ini bukan sahaja dirasai oleh pemain dan pasukan, seluruh peminat dan bandar ini.

“Selepas ketinggalan dua gol, ia sangat memberikan kami tekanan. Anda boleh lihat betapa kejamnya sukan yang kami sayang ini. Sukar untuk menerima apabila kami hanya kekurangan satu gol, ia bukan pengakhiran yang baik, malah menjadi momen yang amat menyakitkan.

“Ia hari yang sukar buat kami, kami bagaikan tidak mendapat keadilan. Apa yang berlaku hari ini akan menghantui kami untuk tempoh yang lama, tetapi kami akan cuba memulakan hari yang baru dengan lebih baik,” kata pengendali Dortmund, Edin Terzic.

Mainz membuka tirai jaringan menerusi tandukan Andreas Hanche-Olsen pada minit ke-15, namun Sebastian Haller berpeluang untuk menyamakan kedudukan, tetapi sepakan penaltinya gagal disempurnakan.

Pelawat terus menggandakan kedudukan menerusi Karim Onisiwo sebelum Dortmund bangkit dengan dua gol menerusi Raphael Guerreiro dan Niklas Sule. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI