fbpx
PERKAHWINAN adalah satu ikatan yang membenarkan kepada hubungan intim antara suami dan isteri yang menjadi satu kehendak sebagai manusia. – GAMBAR HIASAN

Masuk usia 40-an, suami mula cari cinta baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Semakin ramai lelaki apabila usia memasuki 40-an, mereka mula mencari cinta baharu dengan menambah pasangan selepas mendakwa isteri gagal memenuhi kehendak seks suami kerana terlalu sibuk bekerja.

Kebanyakan lelaki yang hampir memasuki usia senja juga dikatakan lebih berminat untuk memiliki isteri ramai bagi memuaskan nafsu, namun mereka tidak mahu menceraikan isteri pertama disebabkan perasaan sayang itu masih ada.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, lelaki dalam lingkungan usia 45 tahun hingga 55 tahun adalah kumpulan umur yang paling ramai memiliki isteri lebih daripada seorang.

Menurutnya, antara faktor utama golongan lelaki berkenaan menambah isteri adalah keinginan seksual yang tinggi.

“Banyak kes yang saya kendalikan, apabila mendekati usia senja, isteri sudah mula penat, apabila suami ‘mahu’, mereka (isteri) tolak. Tidur pula asing-asing dan sentuhan sudah tiada.

“Komunikasi manja-manja pun tiada. Wanita kini ramai bekerjaya dan berpangkat besar. Sibuk dan tiada masa melayan suami. Ada antara mereka pula menopause.

“Sekarang pula zaman media sosial, mudah jumpa wanita berusia 35 tahun ke atas, janda atau belum berkahwin dan mereka tidak kisah berkahwin dengan suami orang,” katanya kepada Kos­mo! Ahad semalam.

Hushim memberitahu, bagaimanapun, ramai lelaki yang tidak akan menceraikan isteri pertama, sebaliknya mereka lebih berminat untuk memiliki isteri ramai yang boleh memberi layanan.

“Ada lelaki datang kepada saya dan mengakui sudah menggoda isterinya lebih dua minggu, tetapi tetap tidak ‘dapat’. Daripada berzina, dia kata lebih baik kahwin lagi.

“Ada juga antara lelaki terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang berpoligami. Mula-mula hanya bergurau, seterus­nya ke provokasi dan akhirnya pergi kepada perbincangan untuk tambah isteri,” ujarnya.

Kata beliau, dalam setahun, lebih 70 pasangan suami isteri yang datang kepadanya menceritakan tentang perkahwinan poligami selain si isteri berdepan masalah hidup untuk berkongsi kasih sayang.

Ujarnya, sebanyak 98 peratus wanita sama sekali tidak dapat menerima poligami.

“Dalam tempoh 40 tahun saya berhadapan dengan pelbagai jenis klien, hanya dua wanita yang saya jumpa boleh terima poligami, manakala yang lain semua ingin tuntut cerai.

“Saya lihat ramai suami cuba selamatkan rumah tangga, berulang kali datang sesi kaunseling. Bagaimanapun, alasan wanita ketika itu mereka telah banyak pengorbanan, tetapi akhirnya diperlakukan sedemikian,” ujarnya.

Tambahnya, poligami dibenarkan, cuma suami perlu berlaku adil dari segi zahir dan batin dan perlu arif menguruskan rumah tangga dengan baik bagi mengelakkan ketidakadilan berlaku terhadap isteri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN