PUTRAJAYA – Aplikasi TikTok menjadi batu loncatan buat pempengaruh mengecap nikmat kemewahan pada usia muda apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 untuk satu video selain meraih populariti hingga ditawarkan menjadi pelakon.
Kosmo! difahamkan, setiap video yang mendapat jumlah tontonan melebihi 100,000 kali akan menerima bayaran RM1,000 dan mereka yang terlibat dengan trend tersebut biasanya dalam kalangan golongan berusia antara 20 hingga 35 tahun.
Eksekutif pengiklanan digital dikenali sebagai Xavier Tan berkata, pempengaruh dianggap Key Opinion Leader (KOL) dan mereka dibayar berdasarkan jumlah tontonan serta tier atau tahap masing-masing seperti berapa ramai pengikut.
Katanya, KOL dikategorikan dalam empat kumpulan termasuk tier S yang menerima bayaran tertinggi sekitar RM10,000 dan biasanya mereka bertaraf selebriti media sosial.
“Tier A akan dibayar RM1,000 jika video mereka mendapat 100,000 kali tontonan, manakala tier B dibayar hingga RM999 dengan tontonan di bawah 100,000 kali.
“KOL yang berada dalam tier C pula akan dibayar RM250 jika meraih tontonan di bawah 10,000 kali,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut Xavier, pempengaruh muda akan bertambah mewah melalui tawaran ‘job’ berganda daripada agensi iklan sekiranya mempunyai jumlah tontonan stabil pada setiap video yang dihasilkan.

Tambahnya, KOL akan menerima antara lima hingga 10 tawaran sebulan daripada agensi atau syarikat produk dan diberi masa seminggu untuk menyiapkannya.
“Jumlah itu bergantung kepada tahap kestabilan tontonan dan berubah setiap bulan. Jika mampu kekalkan jumlah tontonan, ia akan memberi nilai tambah dan akan menerima lebih banyak ‘job’ pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, seorang pempengaruh separuh masa, Kamarul Sulaiman, 27, berkata, mereka mampu hidup selesa sebagai KOL apabila dibayar mengikut kadar ditetapkan peringkat global bagi menghasilkan video.
Menurut kadar global, pempengaruh yang mempunyai pengikut antara 1,000-10,000 dibayar RM44 hingga RM445, 10,000-50,000 pengikut (RM2,226) dan 50,000-500,000 (RM2,226-RM22,265).
“Jika ada sejuta pengikut, bayaran lebih tinggi sehingga RM44,430 untuk satu video. Sebab itu ramai golongan profesional seperti guru, doktor dan peguam menjadi KOL separuh masa kerana menerima bayaran setimpal,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Arieff Effenddy Yong, 28, yang dikategorikan sebagai influencer tier S berkata, bayaran ditetapkan adalah pelbagai dengan mereka berada di bawah agensi menerima kadar lebih tinggi.
“Sejujurnya, saya tidak sangka dengan menghasilkan video bermula tahun 2022 boleh jana pendapatan dan populariti di mana ada peminat turut ajak bergambar.
“Bagaimanapun, pekerjaan sebagai influencer bukanlah suatu kerjaya yang stabil ekoran bergantung kepada tahap ‘trending’ sesebuah video,” katanya. -KOSMO! ONLINE














