fbpx

Sukan SEA Kemboja 2023: Skuad B-22 negara ‘bungkus’ awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malaysia mengutip tiga mata selepas mengharungi tiga perlawanan Kumpulan B kali ini. - Foto ihsan FAM

PHNOM PENH – Skuad bawah 22 (B-22) negara sah terkandas seawal peringkat kumpulan selepas tewas 1-2 kepada Vietnam pada aksi ketiga temasya Sukan SEA Kemboja 2023 sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Prince itu, skuad muda Harimau Malaya kendalian E. Elavarasan dikejutkan seawal minit ke-6 selepas pasukan lawan yang juga juara bertahan dihadiahkan sepakan penalti.

Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh penyerang utama pasukan Nguyen Van Tung yang menendang masuk bola muntah selepas penjaga gol negara, Sikh Izhan Nazrel berjaya menepis bola tepat kearahnya.

Jaringan tersebut menaikkan semangat skuad Naga Emas yang tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan dengan Van Tung sekali lagi menjadi duri dalam daging selepas menanduk masuk gol kedua peribadi pada minit ke-33.

Pemain tengah negara, Aiman Afif menghidupkan harapan skuad negara apabila merapatkan kedudukan 1-2 menerusi gerakan set piece pada minit ke-43.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia tampil lebih agresif dan memiliki beberapa peluang terbaik menerusi percubaan tonggak tengah, Najmudin Akmal Kamal Akmal tetapi rembatannya terkena tiang gol.

Nasib Malaysia bertambah malang apabila pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada pemain yang baru dimasukkan, Muhammad Safwan Mazlan atas kekasaran yang dilakukan ke atas penyerang lawan pada minit ke-79.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila kini giliran Najmudin diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-82 dengan Malaysia terpaksa beraksi dengan sembilan pemain dengan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia kini mengutip tiga mata manakala pasukan Vietnam ikut jejak langkah Thailand untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya skuad B-22 negara mara ke pentas final pada temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara yang berprestij itu.

Kali terakhir skuad muda Harimau Malaya mara ke final adalah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 kejayaan menang pingat emas terakhir adalah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI