TIDAK perlu menggunakan gimik atau mencipta kontroversi, hanya dengan bakat dan pengalaman, semua itu cukup membuatkan wanita dengan nama pentas Elly Mazlein melonjakkan nama dalam bidang pengacaraan.
Pasti ramai sudah mengenali sosok Elly atau lebih mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom yang sering mencuit hati dengan gelagat ‘gediknya’ di atas pentas.
Selepas berjaya mengendalikan program hiburan kesukaan ramai Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) menggantikan Jihan Muse, rezeki pengacaraan Kak Lina mencurah-curah.
Tidak dilihat meriuhkan pentas GV9, ada peminat mahukan Astro menyambung kontraknya dalam GV untuk musim akan datang.

Kepercayaan
Kini, Kak Lina sekali lagi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program hiburaAstro, Big Stage musim kelima (BS5) yang bermula pada 7 Mei ini.
Sekali lagi diberi kepercayaan besar, pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi tidak henti menadah kesyukuran dan bersedia melakukan yang terbaik sebagai hos BS edisi terkini.
“Alhamdulillah rezeki. Memang bersyukur diberi kepercayaan begini dan saya akan cuba terbaik.
“Saya bersyukur walaupun sudah berumur 43 tahun tetapi masih diberi kepercayaan.
“Saya pun tidak menyangka dan insya-Allah dengan pengalaman yang ada, saya akan membalas dengan melakukan terbaik,” katanya kepada HibGlam.
Ditebak tentang gelaran anak emas Astro yang kini singgah ke mukanya, selebriti yang pernah popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu enggan mengulas lebih lanjut tentang perkara tersebut sebaliknya cuba memenuhi permintaan orang sekeliling.
“Sebenarnya memang rezeki. Saya cuba memenuhi permintaan semua pihak stesen televisyen dan netizen.
“Jadi, segala ilmu yang ada, saya akan teruskan perjuangan selagi masih diterima,” ujarnya.
Kongsinya lagi, kepenatan yang dirasai apabila melakukan sesuatu pekerjaan tidak terasa sejurus mendapat respons atau komen positif khalayak.
“Sejujurnya memang penat tetapi alhamdulillah saya puas apabila buat sesuatu yang diterima orang.
“Kalau penat bekerja pun tapi dapat sokongan dan orang suka, hilang penat, kepuasan yang lebih,” tutur pelakon drama Kampung People itu.
Dengan tawaran kerja bertubi-tubi, Kak Lina sebenarnya mendedikasikan setiap pencapaiannya terhadap suami,Mohamad Azlan Che Nuh yang sangat mendukung dan memahami tuntutan komitmen kerjanya.
“Saya turut bersyukur diberikan suami yang sangat memahami dan menjadi penyokong kuat saya.
“Meskipun saya sering balik lewat malam, dia tetap selalu ada sepanjang malam menanti kepulangan saya,” jelasnya.

Bahagia
Bercerita lanjut mengenai rahsia kebahagiaan rumah tangga, Kak Lina menyarankan semua pasangan suami isteri agar memperbanyak komunikasi dalam kehidupan supaya lebih memahami antara satu sama lain lebih-lebih soal pekerjaan.
“Dalam rumah tangga memang kena banyak berkomunikasi. Apa sahaja yang yang tidak kena haruslah cakap dengan suami.
“Sama juga dengan suami yang tidak puas hati perlu bercakap dengan kita. Kalau cakap dalam hati memang tak dengar,” kata penyampai radio itu.
Bercakap mengenai pengacara BS5, Kak Lina sudah bersedia untuk menunjukkan kehebatannya dalam mengendalikan acara yang melibatkan artis-artis muda.
Apabila mengemudikan program berlainan, hos GV9 itu mempunyai strategi mengubah cara pengacaraan yang sesuai selaras dengan penglibatan penyanyi generasi muda.
“Sebenarnya tajuk rancangan antara GV dan Big Stage pun sudah lain.
“Bagi GV, program tersebut disertai artis-artis senior dan ‘lejen’ manakala dalam Big Stage semua peserta-peserta muda yang jelas menunjukkan kelainan permainan bagi kedua-dua rancangan tersebut.
“Saya tidak boleh buat perkara sama dan insya-Allah akan buat yang terbaik dan kekalkan kegilaan saya,” tuturnya.
Program realiti Big Stage 5 akan bersiaran langsung bermula 7 Mei, setiap hari Ahad jam sembilan malam di Astro Ria.















