MUZIK rock seperti genre muzik lain turut berevolusi mengikut zaman dan sehingga saat ini ia masih relevan.
Walaupun irama rock bingit dengan ‘riff’ tersendiri, ia tetap padat dengan lirik yang penuh maksud tersirat.
Kebanyakan orang menganggap muzik rock era 1980-an sebagai era kegemilangan genre tersebut. Bagi generasi berusia 40 atau 50 tahun ke atas, mereka anggap itulah muzik yang melatari kisah cinta monyet mereka.
Kala mendengar lagu seperti Kamelia dendangan kumpulan Sweet Charity, Tercipta Kasihku (Rusty Blade), Taman Rashidah Utama (Wings) dan Gadisku (Search) ia menghasilkan perasaan ‘tangkap leleh’ atau syahdu yang mengenangkan zaman muda dahulu.
Era muzik rock 1980-an dan 1990-an dinggap sebagai ‘rock glam’.
Namun, jika disoroti sejarah, muzik rock tidak wujud secara mendadak. Ia berevolusi sejak era muzik proto pada tahun 1950-an hingga tercetusnya fenomena pesta muzik Woodstock 1969 di Amerika Syarikat (AS).
Di tanah air, era rock proto dimaksudkan dengan era rock n roll 1950-an. Dari AS, genre ini tersebar ke Malaya iaitu di Singapura pada pertengahan 1950-an menerusi siaran radio, peti muzik dan kewujudan cabaret, kafe dan taman hiburan. Gitar elektrik turut mula diperkenalkan.

Kemudian, era pop yeh-yeh 1960-an dianggap sebagai ‘revolusi rock pertama’ yang berpusat di Singapura kerana kemunculan banyak kumpulan gitar rancak. Antara kumpulan terawal ialah The Stompers, The Quests, Thunderbirds dan Les Kafilas.
Dalam era pop yeh-yeh, kumpulan gitar rancak dari kalangan anak muda Melayu bercambah. Pada era itu, antara kumpulan yang diiktiraf kumpulan rock dalam definisi sebenar ialah The Hooks, The Swallows dan The Rhythm Boys.
Kemudian, kumpulan Sweet Charity muncul pada awal 1970-an di Singapura dengan anggota asal antaranya Datuk Ramli Sarip yang kini digelar Papa Rock. Sweet Charity dilaporkan begitu berjaya 1970-an dan 1980-an sehingga mereka menyalakan ‘letupan rock’ di Singapura dan Malaysia. Sweet Charity jugalah yang dikatakan mempopularkan muzik rock Nusantara sehingga mereka dilabel sebagai Deep Purple Singapura.
Pada pertengahan 1980-an, kemunculan kumpulan rock tempatan menjadi semakin galak berkembang berikutan berlangsungnya pertandingan peringkat kebangsaan seperti Juara Rock, Festival Rock dan Battle Of The Bands 1 & 2.
Pertandingan kumpulan rock kebangsaan pertama diadakan di Malaysia adalah pertandingan Juara Rock 1983. Pertandingan ini telah dimenangi oleh D’Febians dan The Lefthanded. Dari situ, maka semakin hangatlah muzik rock di tanah air.

Menurut penulis, pensyarah dan peminat tegar muzik rock, Prof. Madya Dr. Muhamad Takiyuddin Ismail, muzik rock era 80-an hingga 90-an menjadi halwa telinga generasi muda era itu seperti generasi hari ini fanatik dengan muzik K-pop.
“Sebagai peminat muzik rock dan mengkaji sejarah rock untuk buku saya yang bertajuk 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia – Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986), saya melihat muzik rock glam 30 tahun lalu masih segar dalam ingatan generasi berusia 40 hingga 50 tahun hari ini.
“Hasil pertemuan dengan 187 informan dalam kalangan individu terlibat dengan muzik rock tidak kira pemilik gedung alat muzik, pemuzik, pencipta lagu, penganjur konsert dan lain-lain sememangnya muzik rock adalah sebahagian sejarah pahit dan manis dalam hidup mereka yang masih terpahat dalam ingatan,” katanya kepada K2 ketika ditemui baru-baru ini.
Muhammad Takiyuddin, 48, berkata, muzik rock di negara ini walaupun sudah bermula sejak 1955, namun genre rock glam atau ‘glamor’ yang bermula pada 1986 lebih ramai penggemarnya dan ia bersifat komersial tetapi agak terikat.
“Kumpulan-kumpulan yang muncul dalam Battle of The Bands 1986 dan juga Juara-Juara Rock 1986 dianggap sebagai penanda aras kepada ‘keaslian’ kerana kebanyakan mereka telah bertatih dari bawah dan mempunyai pendedahan agak baik sebelum merakamkan album.
“Dari segi peragaan, rocker glam sama ada pemuzik atau peminat mempunyai imej yang lebih menonjol kerana gemar mengenakan pakaian yang ‘striking’ seperti pemakaian seluar PVC atau berbelang-belang, tali pinggang peluru, singlet Loudness yang berimej matahari negara Jepun, selendang atau skaf.
“Contoh terbaik ialah peniruan imej liar yang dilakukan kumpulan SYJ yang diinspirasikan daripada kumpulan Motley Crue dari negara Uncle Sam,” jelas beliau yang menyifatkan SYJ, Search, Wings, Lefthanded dan XPDC merupakan lima kumpulan rock terhebat dalam sejarah negara.
Muhammad Takiyuddin yang merupakan Pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, lagu-lagu rock glam dahulu memang lebih melekat dan masih diminati sehingga saat ini. Katanya, sebab pertama lagu rock lama lebih diminati adalah kerana proses mencipta lagu pada zaman itu agak menyulitkan.
“Mereka tidak miliki kemudahan teknologi seperti zaman ini. Rakaman dibuat secara analog dan adakalanya dibuat berulang kali untuk mendapatkan piawai yang dikehendaki.
“Kalau dahulu, peminat mungkin beli album Bloodshed untuk dengar Opie bermain gitar atau beli album Ariwatan untuk dengar ketukan dram Amri. Namun kini, kebanyakan peranan itu telah diambil alih peranti digital.
Kesukaran seperti itulah menyebabkan mutu lagu itu, tanpa mengira lagu berat atau balada, terjamin dan sesuai didengar melewati masa,” katanya.
Jelasnya lagi, berbeza dengan pemuzik rock sekarang, mereka lebih bebas dan ini juga terkait dengan kesuraman industri muzik sejak wujudnya era digital seperti perkongsian fail, platform YouTube dan Spotify.
“Sisi positifnya, mereka kini lebih mempunyai kreativiti untuk hasilkan album atau lagu baharu tanpa mengikut telunjuk syarikat rakaman atau mana-mana penerbit. Mereka jadi lebih kreatif dan tidak perlu bergantung kepada syarikat rakaman dan orang luar.
“Kini, studio rakaman semakin bercambah, ramai telah menjadi jurutera bunyi dan album boleh dibuat di rumah dengan kos yang benar-benar minimum,” ujarnya.
Tambahnya lagi, rock glam bukan lagi sesuatu yang ‘mainstream’ dan telah diganti dengan pelbagai variasi rock kontemporari seperti alternatif dan indie rock.
“Biarpun ada beberapa kumpulan rock glam yang masih berjaya meraih khalayak yang ramai, ini tidak terpakai untuk kebanyakan kes. Kumpulan-kumpulan yang melakukan ‘comeback’ atau penyatuan semula sering kali hadapi masalah untuk mendapatkan pertunjukan pentas berbanding era 80-an dan awal 90-an di mana pada ketika itu, ‘hanya malam Jumaat tidak ada show’ (sama ada di pesta ria fun fair atau ekspo),” katanya yang menganggap penulisan buku itu untuk kepuasan peribadinya jauh daripada dunia sains politik yang menjadi kepakaran beliau.
Muhamad Takiyuddin juga berharap istilah rock 80-an dan 90-an yang dilabel sebagai rock kapak tidak dipopularkan.
“Ya, saya akui rock kapak sudah menjadi satu istilah yang digunakan meluas bagi menggambarkan rock 80 hingga 90-an dan ia akan terus digunakan sampai bila-bila sebagai rujukan mudah. Namun, seperti yang telah saya jelaskan panjang lebar dalam buku ini, istilah tersebut mempunyai ‘konotasi kelas dan pejoratif’.
“Tak diketahui dari mana asal usul istilah ini walau ada beberapa ‘teori’ kedengaran, apa yang pasti ia tidak digunakan pada zaman emas rock Melayu 80 hingga 90-an dan hanya muncul hujung 90-an. Istilah yang sesuai ialah rock glam Melayu,” katanya.














