MELAKA – Golongan miskin tegar atau B40 boleh mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dengan bayaran RM2 sahaja termasuk bagi urusan perceraian.
Peguam Syarie Tetuan Khairi Najihah, Rosmainie Rofiee berkata, golongan M40 dan ke atas juga masih boleh mendapat bantuan, namun mereka perlu membayar amaun tertentu bergantung kepada gaji tahunan serta kes-kes dituntut.
“Sebagai contoh, sekiranya gaji tahunan mereka RM35,001 sehingga RM40,000, jumlah sumbangan yang perlu dibayar adalah antara RM2,001 sehingga RM3,000.
“Individu-individu terlibat yang tidak berkemampuan boleh merujuk kes mereka kepada JBG terlebih dahulu untuk menilai kelayakan masing-masing bagi mendapatkan khidmat peguam,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Menurutnya, bagaimanapun, ramai pihak yang beralih kepada peguam swasta kerana tidak sanggup menunggu penggiliran kes yang dikendalikan oleh peguam JBG.
“Tempoh penyelesaian kes di bawah JBG memang lama sedikit kerana mereka perlu mengendalikan lebih lima kes dalam sehari berbanding peguam swasta yang lebih tertumpu kepada kes-kes klien sahaja.
“Keadaan ini berlaku disebabkan kekangan tenaga pengendali dan disebabkan itu juga Persatuan Peguam Syarie Malaysia menawarkan Bantuan Guaman Syarie (Bagus) yang menawarkan khidmat peguam swasta secara percuma menerusi dana daripada kerajaaan,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi kadar standard pemfailan kes di Mahkamah Rendah adalah sekitar RM4,000 sehingga RM5,000, manakala di Mahkamah Tinggi bermula RM7,000.
Katanya, kos pula boleh berubah bergantung kepada budi bicara setiap peguam, misalnya kes dapat diselesaikan awal, maka jumlah tersebut akan dikurangkan mungkin kepada RM3,000
sahaja kerana kedua-dua pihak tidak lagi perlu hadir ke mahkamah.
“Kos akan mencecah RM20,000 dan ke atas jika ia melibatkan beberapa rentetan tuntutan yang menuntut untuk dibicarakan secara berasingan.
“Contohnya, selepas bercerai, bekas isteri ingin membuat tuntutan nafkah anak, jadi di situ sahaja anggaran dua kes, dia telah berhabis RM8,000, tidak termasuk tuntutan hadanah, mut’ah, pembahagian harta dan sebagainya,” jelas beliau.















